AirAsia Berhad rekod pertumbuhan kukuh


AirAsia catat pertumbuhan operasi memberangsangkan pada suku pertama tahun ini. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR 5 Mei - AirAsia Bhd. merekodkan pertumbuhan operasi yang kukuh pada suku pertama 2014 dengan faktor muatan sebanyak 78 peratus.

Syarikat penerbangan tambah murah terbabit turut mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus dalam bilangan penumpang kepada 11.5 juta orang berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 19 peratus dalam kapasiti.

Menurut AirAsia, syarikat menambah sebanyak tiga buah pesawat menjadikannya kini beroperasi dengan 157 buah pesawat.

Tambahnya, AirAsia Malaysia (MAA) kekal mencatatkan pertumbuhan faktor muatan sebanyak 81 peratus pada suku pertama tahun ini, peningkatan sebanyak dua peratus berbanding tahun lalu.

"Jumlah bilangan penumpang turut meningkat sebanyak empat peratus kepada 5.4 juta penumpang walaupun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh industri pada suku pertama terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, MAA turut menambah sebuah pesawat pada suku pertama tahun ini menjadikan MAA kini mempunyai 72 buah pesawat menjelang penghujung 2014.

Sementara itu, AirAsia Thailand mencatatkan peningkatan 22 peratus dalam jumlah penumpang iaitu sebanyak 3.1 juta tahun ke tahun, manakala AirAsia Indonesia pula merekodkan sebanyak 2.1 juta penumpang, meningkat sebanyak 22 peratus berbanding tahun lalu.

"AirAsia Filipina (PAA) yang telah bergabung dengan AirAsia Zest dari segi operasi, mencatatkan faktor muatan sebanyak 66 peratus dengan pertumbuhan yang tinggi dalam bilangan penumpang iaitu 520 peratus dan sebanyak 0.89 juta penumpang," katanya.

Pertumbuhan dalam kapasiti juga tinggi iaitu 614 peratus tahun ke tahun, dan PAA menerima 16 pesawat tambahan menjadikannya kini mempunyai 18 buah pesawat.

"Kekerapan penerbangan ke Filipina turut meningkat di tiga laluan utama iaitu Manila-Tacloban, Cebu dan Kalibo," katanya.

Comments