AirAsia catat untung operasi lebih tinggi
KUALA LUMPUR 22 Feb. - AirAsia Bhd. (AirAsia) merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM1.20 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, meningkat 12 peratus berbanding RM1.07 bilion pada tahun sebelumnya.
AirAsia turut mencatatkan perolehan sebanyak RM4.47 bilion meningkat 13 peratus berbanding sebelumnya, manakala pendapatan utama bersih adalah sebanyak RM880.78 juta meningkat 18 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, peningkatan sebanyak 12 peratus bagi keuntungan operasi dan 18 peratus bagi pendapatan utama bersih adalah sesuatu yang membanggakan.
''Ia merupakan sesuatu yang hebat dalam suasana faktor makroekonomi seperti harga bahan bakar yang tinggi hingga memberi kesan kepada kami dan syarikat penerbangan lain.
''Purata peningkatan bahan bakar adalah sebanyak 36 peratus pada tahun lalu, walaupun kos tersebut merupakan 50 peratus daripada jumlah kos keseluruhan.
''Model perniagaan kukuh, fokus terhadap pengawalan kos dan kecekapan operasi membolehkan kami mengekalkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dan EBITDAR,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Tambah Fernandes, kejatuhan keuntungan selepas cukai adalah disebabkan oleh kerugian tukaran asing belum terperoleh yang diperlukan untuk tujuan laporan di bawah standard perakaunan.
''Keputusan keseluruhan tahun menunjukkan AirAsia berada di kedudukan terbaik dan kita menguruskannya dengan baik,'' jelasnya.
Beliau berkata, 2011 merupakan tahun bersejarah untuk AirAsia yang menyambut ulang tahun ke-10, apabila membawa 135 juta penumpang ke seluruh rantau, terbang ke destinasi baharu, meningkatkan kekerapan penerbangan serta mencapai sasaran faktor muatan sebanyak 80 peratus.
Fernandes berkata, nisbah hutang berbanding ekuiti atau gearan AirAsia pada penghujung tahun adalah 1.43 kali dengan tunai sebanyak RM2.02 bilion.
Dalam melangkah ke hadapan, Fernandes berkata, sejak permulaan tahun ini, mereka telah mengumumkan tujuh laluan baharu serta meningkatkan kekerapan.
Beliau berkata, AirAsia Filipina akan memulakan operasi pada separuh pertama tahun ini, manakala AirAsia Jepun akan memulakan operasi pada separuh kedua.
AirAsia akan meneruskan asas perkembangan kewangan kukuh, jenama dikenali, capaian pasaran luas dengan strategi hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Jepun.
Comments