AirAsia X perkenalkan ESo

Azran Osman-Rani mencuba perkhidmatan Pilihan Tempat Duduk Kosong di salah sebuah pesawat AirAsia X baru-baru ini.
Azran Osman-Rani mencuba perkhidmatan Pilihan Tempat Duduk Kosong di salah sebuah pesawat AirAsia X baru-baru ini. SINGAPURA 10 Feb. – AirAsia X dan rakan teknologinya, Optiontown telah memperkenalkan perkhidmatan terbaharu kepada para pelanggan yang inginkan keselesaan tempat duduk yang dikenali Pilihan Tempat Duduk Kosong (ESo) bermula Januari lalu. AirAsia X merupakan syarikat penerbangan pertama di Asia Pasifik yang menawarkan kemudahan dalam kelas ekonomi, pilihan tiga tempat kosong dalam satu baris dengan harga yang berpatutan. ESo merupakan kejayaan kedua AirAsia X yang bekerjasama dengan Optiontown selepas menawarkan perkhidmatan Pilihan Naik Taraf Perjalanan (UTo) yang dilancarkan pada tahun lalu. UTo membolehkan pelanggan AirAsia X menaiktaraf tempat duduk mereka daripada tempat duduk ekonomi kepada tempat duduk premium boleh baring (flatbed). UTo telah membantu meningkatkan muatan dalam kelas premium AirAsia X melebihi 22 peratus dan hasil daripada naik taraf tempat duduk meningkat lebih 60 peratus. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata, syarikat penerbangan itu telah merevolusi dalam pelbagai cara dan pihaknya sentiasa melihat trend inovatif semasa bagi memastikan keselesaan pelanggan. ‘’Kami menawarkan mereka pilihan untuk membeli apa yang mereka perlukan dan ia bergantung kepada keperluan individu,” ujarnya.

Comments