Penerbangan dari Filipina ke Malaysia ditambah
MANILA 24 Feb. – Kementerian Pelancongan menyasarkan 400,000 pelancong dari Filipina tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini, berbanding 362,101 pada 2011.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, justeru itu, pelbagai usaha dilakukan oleh kementerian bagi mencapai sasaran tersebut termasuklah perbincangan untuk menambah penerbangan dari Filipina ke Malaysia.
Menurutnya, kini terdapat tiga syarikat penerbangan menawarkan 45 perkhidmatan seminggu iaitu Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia, masing-masing 14 kali sementara Cebu Pacific (17 kali).
“Selepas pertemuan dengan wakil-wakil syarikat penerbangan hari ini, kami bersetuju untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
“Bermula 25 Mac, MAS akan meningkatkan penerbangan mereka kepada tiga kali sehari, SEAir mula terbang tiga kali seminggu dari Lapangan Terbang Clarke Fields ke Kota Kinabalu, Zest Air bakal memulakan penerbangan pada pertengahan tahun ini sementara AirAsia Philippines sedang merancang untuk menambah kekerapannya,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan wakil lima pengendali syarikat penerbangan di sini, hari ini.
Yen Yen kemudiannya mengadakan satu pertemuan dengan Menteri Pelancongan Filipina, Ramon Jimenez Jr. untuk membincangkan kerjasama dua hala dari segi pelancongan. Mesyuarat itu turut dihadiri duta negara masing-masing, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan J. Eduardo Malaya.
Beliau berkata, banyak diperoleh menerusi mesyuarat selama 30 minit itu, antaranya menubuhkan Konsortium Pelancongan yang akan diputuskan pada pertemuan seterusnya di Pameran Pelancongan Antarabangsa Berlin, dua minggu lagi.
“Kelebihan negara masing-masing akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kerjasama dalam meningkatkan pelancong. Sebagai contoh, pelancong ke Filipina akan mengikuti pakej berkembar iaitu di samping melancong ke negara tersebut, mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia, begitu juga sebaliknya.
“Semasa di Berlin nanti, kami akan mengadakan perbincangan dengan sekurang-kurangnya lima pengendali syarikat pelancongan bagi menerangkan pakej yang ditawarkan ini,’’ katanya.
Semasa berucap pada majlis gala makan tengah hari Pelancongan Malaysia yang diadakan sempena Festival Fesyen Islam (IFF) yang diadakan di sini selama dua hari, beliau memberitahu, Malaysia akan membantu Filipina mewujudkan pelancongan Islam di negara tersebut.
“Ini kerana negara mempunyai pengalaman yang luas dalam pelancongan Islam. Oleh itu, kita turut menjemput Filipina untuk menyertai pameran pelancongan antarabangsa pada 31 Mei depan di Kuala Lumpur.
“Penganjuran IFF di Manila merupakan permulaan bagi memperkenalkan pelancongan Islam di negara tersebut dan memartabatkan fesyen Islam di mata dunia,’’ ujarnya.
Semalam, sempena malam gala IFF, sejumlah RM60,000 (AS$20,000) berjaya dikumpulkan bagi disumbangkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan dan badan kebajikan di Filipina.
Turut hadir, Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; bekas Presiden Filipina, Fidel V. Ramos; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazla
Comments