Suku keempat 2011: Penumpang AirAsia meningkat 12.3%

KUALA LUMPUR 30 Jan. — AirAsia Bhd mengumumkan bahawa ia telah menerbangkan 7.931 juta penumpang dalam suku keempat tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2011 dan ini merupakan peningkatan sebanyak 12.3 peratus berbanding 7.063 juta penumpang dalam suku yang sama pada 2010.

Dalam perangkaan kendalian awalnya yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan tambang murah terkemuka itu berkata, daripada jumlah penumpang yang diterbangkannya pada suku dalam kajian, 4.855 juta adalah dari Malaysia (2010: 4.440 juta), 1.821 juta dari Thailand (2010: 1.622 juta) dan 1.255 juta dari Indonesia (2010: 1.001 juta).

Pada 2011, kumpulan itu mencatatkan sejumlah 29.860 juta penumpang, bertambah daripada 25.681 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Kapasitinya bertambah 13.5 peratus kepada 37.506 juta daripada 33.058 juta, dan faktor bebanan meningkat sebanyak dua peratus kepada 80 peratus daripada 78 peratus sebelumnya.

AirAsia juga berkata, tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) bertambah 13.5 peratus daripada 38,704 juta kepada 43,940 juta, manakala perolehan penumpang mengikut kilometer (RPK) melonjak 18.5 peratus kepada 35,091 juta daripada 29,613 juta dalam tempoh yang sama pada 2010.

Comments

Popular Posts