Syarat baharu AirAsia?

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Kemelut antara Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) bagaikan tiada penghujungnya apabila syarikat penerbangan tambang murah itu dipercayai mengenakan syarat baharu sebelum boleh berpindah ke KLIA2.
Kali ini AirAsia dikatakan meminta MAHB menyediakan kawasan transit bagi kemudahan perkhidmatan penyajian makanan atau katering yang hampir dengan terminal tersebut.
Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi oleh MAHB kerana lokasi yang menjadi pilihan AirAsia tidak boleh 'diganggu'.
Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, kawasan yang diminta AirAsia merupakan lokasi yang diperuntukkan untuk penambahan bangunan satelit pada masa depan.
''Dalam surat AirAsia kepada MAHB menyatakan sekiranya kawasan transit untuk kemudahan katering (staging area) tidak dipenuhi, AirAsia tidak mahu berpindah ke KLIA2," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini.
Kemudahan transit bagi katering AirAsia kini terletak bersebelahan dengan Terminal Tambang Murah (LCCT) sedia ada.
Jarak antara LCCT dan KLIA2 adalah kira-kira 15 kilometer, dipercayai boleh meningkatkan kos operasi AirAsia, sekali gus tidak menepati model perniagaan syarikat itu yang selama ini dipertahankan.
Sumber berkata, meskipun AirAsia membuat syarat tersebut tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan pembangunan KLIA2 yang kini sudah 50 peratus siap dan mendahului jadual selama 73 hari.
Bagaimanapun, beliau berkata, lokasi pembinaan menara kawalan di KLIA2 terpaksa diubah selepas mendapati wujudnya 'blind-spot' pada tahap 30 peratus disebabkan ketinggian kompleks bersepadu.
Dengan perubahan kedudukan, 'blind-spot' kini hanya dua peratus dan ia tidak lagi menjadi masalah.
Sumber itu turut mendakwa AirAsia sentiasa mengemukakan pelbagai permintaan baharu setiap kali mesyuarat mingguan antara syarikat penerbangan tersebut dan MAHB termasuk kemudahan staging area itu.
Ditanya apakah pendirian MAHB berhubung syarat baharu AirAsia itu, sumber itu berkata, pihaknya difahamkan tumpuan dan keutamaan operator lapangan terbang itu adalah menyiapkan KLIA2 mengikut tarikh yang dijanjikan iaitu April 2013.
''Sama ada AirAsia hendak pindah atau tidak, bukan keutamaan MAHB kerana yang penting KLIA2 perlu disiapkan.
''Kalau hendak melayan semua karenah AirAsia sampai bila pun KLIA2 tidak siap," kata beliau lagi.
Mengulas mengenai pembinaan jambatan aero, sumber berkata, MAHB akan tetap membina kemudahan itu.
''Mula-mula memang tidak ada (jambatan aero) tetapi kami diarahkan oleh kerajaan atas dasar keperimanusiaan terhadap para penumpang AirAsia.
''Tetapi, sama ada kemudahan itu akan dibina sebelum atau selepas pembukaan KLIA2, ia terpulang kepada MAHB.
''Kalau hendak binanya sekarang pun boleh juga, MAHB tidak ada masalah mengenainya," kata sumber itu lagi.

Comments

Popular Posts