Fernandes: Saman ke atas AirAsia X tidak jejaskan jualan tiket
SEPANG 2 Feb. - Saman terhadap AirAsia X di Australia baru-baru ini tidak akan menjejaskan prestasi jualan syarikat penerbangan tambang rendah itu di negara berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata, saman itu merupakan masalah teknikal yang kecil dan tidak menyebabkan sebarang perubahan terhadap kekerapan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu ke Australia.
AirAsia X kini terbang ke Gold Coast, Melbourne, Perth dan Sydney.
Awal bulan ini, kumpulan pemantau pengguna di Australia menyaman syarikat penerbangan tambang rendah itu kerana didakwa gagal mendedahkan harga penuh tambang untuk penerbangan dari Australia.
Suruhanjaya Pertandingan dan Pengguna Australia (ACCC) mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat penerbangan itu pada hari yang sama eksekutifnya melancarkan tambang bagi laluan Sydney-Kuala Lumpur pada tambang sehala serendah A$99 (RM319). - BERNAMA
Comments