Operasi MASwings ke BIMP-EAGA tak jejas operasi domestik

KOTA KINABALU 1 Feb. - Pengembangan MASwings ke Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) tidak sama sekali menjejaskan tanggung jawab terhadap operasi penerbangan domestik khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sebaliknya, beliau berkata, operasi BIMP EAGA MASwings itu bakal memberi peluang pertumbuhan ekonomi serta pasaran baru bagi kedua-dua negeri itu dalam banyak bidang terutama pelancongan, perubatan, pendidikan, pertanian, perdagangan dan pelaburan.

Sebelum itu, MASwings hanya beroperasi dalam lingkungan Sabah dan Sarawak.

"Pembangunan perniagaan dan pasaran MASwings ke BIMP EAGA serta potensi meningkatkan pendapatan dari operasi tersebut dipercayai bakal merendahkan kos operasi keseluruhan MASWings," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena penerbangan sulung MASwings dari Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan, Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mengikut perancangan, Nor Mohamed berkata, MASwings dijadual memulakan penerbangan sulung ke tiga destinasi BIMP EAGA iaitu pada hari ini - Kota Kinabalu/Bandar Seri Begawan (dua kali setiap hari), Kuching/Bandar Seri Begawan (tiga kali seminggu) manakala pada 6 Feb, sektor Kuching/Pontianak (sekali setiap hari) akan dimulakan.

Penerbangan sulung bagi sektor Tawau-Tarakan, Indonesia pula akan dimulakan pada 13 Februari ini, katanya.

Katanya lagi, MASWings merupakan syarikat penerbangan Malaysia pertama yang bakal menghubungkan pintu-pintu masuk BIMP EAGA yang diiktiraf berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) pengembangan hubungan udara antara kerajaan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina yang ditandatangani pada 12 Januari 2007.

Operasi BIMP EAGA itu bukan sahaja menyediakan jambatan udara antara bandar-bandar BIMP EAGA malah juga memenuhi naluri komersil terutama usaha murni tanggung jawab Sosial (CSR) bagi memupuk rangkaian siratul rahim antara masyarakat negara-negara anggota BIMP EAGA.

"Ia juga bakal menjadi pemangkin secara amnya pertumbuhan sosio-ekonomi wilayah yang terbabit," ujarnya.

Beliau berkata, usaha murni MASwings untuk beroperasi dalam wilayah BIMP EAGA merupakan sesuatu yang membanggakan yang mana kerajaan BIMP EAGA lain wajar mencontohi keupayaan kerajaan Malaysia menggemblengkan sektor swastanya supaya maju aktif meneroka potensi yang disediakan oleh wilayah pertumbuhan khas itu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar semua kerajaan dan pihak berkuasa di bawah BIMP EAGA menimbangkan sewajarnya dari segi menawarkan pelbagai insentif atau diskaun yang boleh memberi penguasa seperti MASwings mengurangkan kos operasi mereka.

Mengenai permintaan bagi laluan dan hak pendaratan yang akan diserahkan kepada Sabah Air berikutan pemberhentian penerbangan MAS ke beberapa destinasi antarabangsa, Nor Mohamed menjelaskan, kerajaan pusat belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Sebelum ini, MAS menggantung penerbangannya antara Kota Kinabalu-Osaka yang berkuat kuasa dari 6 Januari lalu dan Kota Kinabalu-Perth mulai 31 Januari lalu.

Syarikat penerbangan nasional itu juga akan menggantung penerbangan Kota Kinabalu-Haneda mulai 1 Februari dan penerbangan Kota Kinabalu-Seoul dari 21 Februari ini sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasinya

Comments

Popular Posts