Juruterbang AirAsia X langgar sempadan keselamatan
MELBOURNE 10 Feb. - Penyiasat keselamatan udara Australia mendapati bahawa juruterbang-juruterbang AirAsia X telah dua kali menerbangkan pesawat begitu rendah di Lapangan Terbang Gold Coast hingga melanggar sempadan keselamatan antara daratan dan kapal terbang lain.
Kapal terbang Airbus A330 itu membuat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Gold Coast apabila kejadian itu berlaku pada 4 Mei dan 29 Mei, 2010.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, dalam satu laporan yang mengklasifikasi kejadian itu sebagai ”serius” berkata, pesawat-pesawat itu turun ke ketinggian yang tidak lagi terdapat jaminan pemisahan dari daratan dan dari kapal terbang yang beroperasi di luar ruang udara terkawal.
Ketika itu awan berada pada paras rendah dan penglihatan kurang jelas, tetapi sebab kenapa juruterbang-juruterbang itu melangkaui jarak selamat itu tidak diberikan.
Bagaimanapun, penyiasat-penyiasat berkata, anak kapal “barangkali tidak dilengkapi secukupnya untuk mengendalikan jalan tuju dengan kaedah selain kaedah terurus auto-juruterbang”.
Sebagai tindak balas kepada kejadian itu AirAsia X telah mengubah prosedur bagi anak kapal semasa melaksanakan pendaratan serta mengubah suai program latihan simulator
Comments