FOMCA gesa MyCC siasat AirAsia

MARIMUTHU Nadason (tengah) bersama Paul Selva Raj (kiri) dan Mohd. Yusof Abdul Rahman menunjukkan dokumen aduan terhadap AirAsia di Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Kelana Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) segera menyiasat AirAsia Bhd. (AirAsia) yang disyaki mengamalkan unsur monopoli dalam perniagaan dan bercanggah dengan Akta Persaingan 2010.

Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang mendakwa berlaku monopoli perniagaan oleh syarikat tambang murah tersebut.

"FOMCA meminta MyCC mengadakan siasatan dengan segera kerana sejak berlakunya pertukaran saham antara Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan AirAsia, timbul pelbagai situasi kurang menyenangkan kepada pengguna.

"Penerbangan FireFly (anak syarikat MAS) ke Sabah dan Sarawak ditamatkan, seterusnya empat penerbangan antarabangsa turut dibatalkan, maka timbul persoalan kemungkinan wujud persepakatan antara kedua-dua syarikat penerbangan ini yang enggan bersaing kerana mahu meletakkan harga tinggi kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan surat aduan terhadap AirAsia kepada suruhanjaya tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Exsekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj dan Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman.

Menurut Marimuthu, aduan daripada pengguna terhadap syarikat itu telah meningkat sebanyak 10 peratus kepada 956 aduan pada tahun lalu, berbanding 870 aduan pada 2009.

Ia membabitkan aduan kenaikan harga tambang, penurunan kualiti produk, kadar pembatalan serta penundaan yang kerap, pengurangan laluan penerbangan dan penurunan perkhidmatan penerbangan dua syarikat penerbangan ini dalam jangka masa panjang.

"Akta Persaingan 2010 menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur-pelabur asing dan tempatan lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia dan FOMCA mahu MyCC segera meminta AirAsia tampil memberi penjelasan," katanya.


Comments

Popular Posts