AirAsia terima serahan 275 pesawat dalam 14 tahun

SEPANG 2 Feb. – AirAsia Bhd akan menerima serahan 275 pesawat Airbus A320 bernilai AS$25 bilion, bagi tempoh 14 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan jumlah pesawatnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata, 200 pesawat terdiri daripada model A320neo manakala model A320 menyumbang bagi baki 75 pesawat dan ia akan melengkapkan armada 100 pesawat sedia ada AirAsia.

"200 pesawat model A320neo itu mempunyai harga pasaran sehingga AS$18 bilion, manakala 75 model A320 akan mempunyai harga pasaran AS$7 bilion,” kata Fernandes kepada pemberita selepas menerima serahan pesawat Airbus A320 ke-100 AirAsia di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), di sini hari ini.

Serahan terbaharu itu akan menjadikan syarikat penerbangan bajet tersebut sebagai pengendali pesawat Airbus A320 terbesar di Asia Tenggara.

Ketika ini AirAsia mempunyai 58 pesawat Airbus A320 berpangkalan di Malaysia, 22 pesawat berpangkalan di Thailand, 18 pesawat berpangkalan di Indonesia dan dua pesawat berpangkalan di Filipina

Comments

Popular Posts