AirAsia terbang tinggi di Filipina


KUALA LUMPUR 11 Mac - Kegagalan mengambilalih PT Batavia Air di Indonesia tahun lalu dilihat langsung tidak mematahkan semangat Kumpulan AirAsia untuk terus mengintai peluang pelaburan di rantau ini.
Belum pun selesai hasrat menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah di India, hari ini industri penerbangan dikejutkan lagi dengan langkah drastik Kumpulan AirAsia di Filipina pula.

Kumpulan AirAsia menerusi syarikat sekutunya, Philippines AirAsia Inc. (PAA) mengumumkan rancangannya untuk mengambil alih Asiawide Airways Inc. (Asiawide Airways) dan 49 peratus kepentingan dalam Zest Airways Inc. (Zest Airways).

Zest Group merupakan syarikat induk kepada Asiawide Airways dan Zest Airways.
AirAsia dalam kenyataannya hari ini menyatakan, PAA telah memasuki fasa perjanjian kerjasama strategik dengan Alfredo Yao yang merupakan pemegang saham utama kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan.
Melalui perjanjian berkenaan, PAA mahu mengambil alih kepentingan 49 peratus kepentingan dalam Zest Airways dan 100 peratus kepentingan dalam Asiawide Airways.

Sebagai pulangan daripada perjanjian tersebut, Yao akan menerima 15 peratus kepentingan dalam PAA.
Ketika ini 40 peratus kepentingan dalam PAA dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes manakala Hontiveros, Antonio Cojuangco Jr. dan Michael Romero masing-masing memiliki 20 peratus kepentingan.

Ketua Pegawai Eksekutif PAA, Marianne Hontiveros berkata, perjanjian dengan dua syarikat penerbangan tempatan ini bakal memberi kelebihan kepada PAA.
"Pelaburan dalam Zest Group akan melengkapkan strategi pertumbuhan masa depan PAA. Zest Airways berpusat di Ninoy Aquino International Airport (NAIA) yang mengendalikan majoriti penerbangan di Filipina," katanya.

Kumpulan AirAsia ketika ini telah beroperasi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, Filipina dan bakal di India, sekali gus menjadikan syarikat berkenaan sebagai syarikat penerbangan tambah murah terbesar di Asia.
Kumpulan berkenaan kini mengendalikan 120 buah pesawat serta telah menempah 350 buah pesawat baharu dan telah menghubungkan 158 destinasi merentasi 18 buah negara.

Kumpulan AirAsia melihat Filipina mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan tawaran 100 juta penduduk di lebih 7,000 buah pulau. Bentuk geografi ini memberi kelebihan kepada pengangkutan udara.
Sementara itu, Yao berkata, syarikat gembira dapat bekerjasama dengan PAA kerana memberi lebih banyak peluang kepada kedua-dua syarikat.


Comments