Amerika Syarikat guna pesawat B-2 di Korea
SEOUL 28 Mac - Dua pesawat pengebom senyap milik Amerika Syarikat (AS) B-2, yang mampu membawa bom nuklear, melakukan penerbangan di ruang udara Korea Selatan, hari ini dalam satu misi 'pencegahan' sempena latihan ketenteraan bersama antara kedua-dua negara.
Tindakan itu sekali gus menunjukkan AS tidak mengendahkan ancaman tindakan balas daripada Korea Utara, yang menentang latihan ketenteraan bersama kedua-dua negara seterunya itu.
Penyertaan pesawat pengebom itu jelas membawa maksud untuk memberi mesej tegas kepada Pyongyang tentang komitmen AS untuk mempertahankan Korea Selatan terhadap sebarang pencerobohan, ketika ketegangan memuncak di semenanjung Korea.
Tindakan itu juga dibuat sejurus selepas Korea Utara, semalam memutuskan talian komunikasi tentera dengan Seoul dan meletakkan unit roket negara itu dalam status berperang, selain mengancam untuk menjadikan pangkalan AS di rantau Pasifik sebagai sasaran
.
Kedua-dua pesawat B-2 dari pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri itu melakukan penerbangan sejauh 20,800 kilometer pergi dan balik dalam 'misi solo' itu dengan menggugurkan kelengkapan palsu ke atas sasaran di Korea Selatan, menurut tentera AS dalam satu kenyataan.
"Ini adalah demonstrasi bagi membuktikan AS berupaya melancarkan serangan jarak jauh secara pantas serta tepat dan kami akan melakukannya.
"Pesawat B-2 adalah elemen penting dalam memperkuatkan keupayaan pencegahan AS," menurut kenyataan itu.
Awal hari ini, Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel turut memberitahu rakan sejawatnya dari Korea Selatan bahawa Seoul boleh bergantung perlindungan kepada ketenteraan AS yang ditawarkan iaitu nuklear, konvensional dan pertahanan peluru berpandu. - AFP
Comments