MAS kembali di landasan
KUALA LUMPUR 10 Mac - Mencatatkan kerugian terbesar dalam sejarah korporat sehingga RM2.52 bilion pada 2011 pasti memberi tekanan yang begitu tinggi kepada Malaysia Airline System Bhd. (MAS).
Sebelum ini, sememangnya terdapat juga cakap-cakap mengatakan pengurusan MAS sekarang tidak mempunyai keupayaan untuk mengubah senario kewangan berkenaan yang dilihat agak parah.
Menurut penganalisis, adalah satu langkah yang sukar untuk mengembalikan MAS ke landasan keuntungan dalam masa singkat selepas sekian lama syarikat itu beroperasi dalam keadaan menanggung kos yang sentiasa tinggi.
"Banyak perkara yang dilaksanakan sebelum ini merupakan satu kos yang boleh dielakkan. Sebagai contoh mudah, MAS merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang masih mengadakan perkhidmatan mengambil dan menghantar kakitangan dari rumah ke tempat kerja setiap hari," kata penganalisis itu.
Bagaimanapun, tekanan demi tekanan yang diterima telah mematangkan barisan pengurusan syarikat berkenaan yang diterajui oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya atau lebih dikenali sebagai AJ walaupun telah membentangkan pelan pemulihannya. pada Disember 2011.
Tekanan itu termasuk ketika rancangan kerjasama dengan AirAsia yang dijadikan isu besar sama ada oleh penganalisis industri dan juga daripada Kesatuan Sekerja MAS (MASEU) sendiri.
Bermula dari separuh kedua tahun lalu, pelan pemulihan yang dicanang oleh AJ yang berteraskan meningkatkan kembali keuntungan syarikat dan juga keyakinan penumpang mula membuahkan hasil.
Syarikat mencatat keuntungan pada suku ketiga dan keempat selepas mencatat kerugian besar pada dua suku sebelumnya.
MAS berjaya mengurangkan kerugiannya kepada RM432.6 juta bagi tahun kewangan 2012 berbanding RM2.52 bilion pada 2011. Lebih RM2 bilion mampu dijimatkan dalam tempoh setahun merupakan satu pencapaian yang sangat baik.
Rata-rata penganalisis korporat tempatan memberi gambaran positif kepada pretasi yang ditunjukkan oleh MAS dengan meletakkan keyakinan tinggi dengan menyarakan beli ke atas saham syarikat berkenaan antara 80 sen hingga 90 sen sesaham berbanding jual sebelum ini.
Mereka yakin dengan pengurusan kos bukan bahan api yang berkesan dan pulangan positif daripada penstrukturan laluan yang telah dibuat MAS.
Faktor lain ialah penggunaan pesawat baharu yang memerlukan kos penyenggaraan dan penggunaan bahan api yang lebih rendah dan ia seterusnya meningkatkan margin operasinya.
MAS dalam laporan yang disiarkan dalam akhbar Focus Malaysia menyatakan mahu meningkatkan pemilikan pesawat berbanding sewa. Setakat ini, separuh daripada pesawat yang digunakan adalah disewa.
Kos sewa pesawat dan peralatan MAS meningkat kepada RM1.7 bilion pada 2011 berbanding RM1.6 bilion tahun sebelumnya.
Dengan kehadiran 45 pesawat baharu dari 2010 hingga 2017 meliputi pesawat jenis Boeing 737-800, Air Bus 330-300 dan Air Bus 380, MAS dilihat mampu mengurangkan pesawat sewa kepada satu pertiga daripada keseluruhan pesawat.
MAS telah menerima 23 buah pesawat baharu tahun lalu dan sekali gus berjaya mengurangkan purata jangka hayat pesawat daripada 12.2 tahun kepada 7.7 tahun bagi menjamin keberkesanan operasinya. Tahun lalu MAS menggunakan 128 buah pesawat.
Sebagai perbandingan, Singapore Airlines setakat Mac tahun lalu, telah mengggunakan 100 buah pesawat dengan purata hayat enam tahun dua bulan.
Bagaimanapun, penganalisis juga bimbang dengan langkah pengurangan laluan yang dilihat mengurangkan perolehan kumpulan, selain penerbitan hak untuk kali ketiga sejak Januari 2007
Setiap tindakan yang diambil pasti mendatangkan kesan sama ada positif atau negatif kepada MAS tetapi berdasarkan perkembangan sekarang, AJ wajar diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya.
Comments