Guna AirAsia bawa tentera lebih praktikal
SUNGAI PETANI 9 Mac - Tindakan Kementerian Pertahanan menggunakan khidmat pesawat komersial untuk mengangkut anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas dalam operasi di Lahad Datu dianggap wajar kerana lebih praktikal dari segi kos dan masa.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga tidak seharusnya dijadikan isu memandangkan ia telah menjadi amalan sejak sekian lama.
"Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dan AirAsia Berhad (AirAsia) menjadi dua syarikat penerbangan yang ada kontrak dengan kementerian. Perkara ini berlaku sejak berpuluh tahun lalu.
"Namun, apabila keluar gambar dalam media sosial memaparkan anggota ATM dibawa bertugas untuk operasi dari Pengkalan Chepa ke Tawau, ia seolah-olah menjadi perkara baru," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat anggota tentera peringkat Markas Kedua Divisyen di Kem Lapangan Terbang, di sini hari ini.
Beliau mengulas segelintir pihak mempertikaikan tindakan kerajaan menggunakan pesawat komersial untuk mengangkut anggota ATM bertugas dalam operasi memerangi pengganas di Lahad Datu, baru-baru ini.
Ahmad Zahid berkata, adalah kurang praktikal kementerian mengangkut mobiliti tentera secara beramai-ramai menggunakan pesawat tentera seperti Hercules dan Charlie.
"Hercules dan Charlie adalah kapal terbang pengangkut. Memang dalam ops ini, kita angkut semua aset-aset ketenteraan ke Sabah guna pesawat tentera.
"Kalau pakai Charlie, kapasiti tak lebih 200 orang penumpang setiap kali. Tapi dengan AirAsia lebih 300 orang malah ia lebih cepat. Dalam keadaan cemas, kita mahu cepat," katanya.
Beliau juga melahirkan hairan kerana perkara tersebut dijadikan isu politik murahan dan disebarkan meluas dalam internet.
"Ini bukan kontrak baru, ia kontrak lama. Dulu pun, bila ada mobilasasi tentera antara Semenanjung dengan Sabah Sarawak atau sebaliknya, kita guna pesawat komersial.
"Kenapa nak jadikan isu? Malah, di luar negara pun berlaku amalan ini," katanya.
Comments