MAHB dapat faedah operasi Malindo
KUALA LUMPUR 11 Mac - Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dijangka mendapat faedah sepenuhnya, dengan kehadiran syarikat penerbangan baharu Malindo Air, yang bakal menyaingi AirAsia dan Malaysia Airline System Bhd. (MAS).
Menurut nota penyelidikan RHB Research, hasrat Malindo Air yang mahu menawarkan kadar tambang lebih murah berbanding pesaingnya, dilihat akan menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan udara sekali gus, menaikkan kadar trafik di lapangan terbang.
Jelas nota penyelidikan itu, MAHB berpotensi untuk meraih perolehan yang lebih tinggi menerusi cukai lapangan terbang, khususnya apabila Malindo Air bakal memulakan operasi 22 Mac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya di KLIA2.
"Trafik penumpang MAHB dijangka tumbuh 11 peratus tahun ini berbanding keseluruhan tahun lalu iaitu hanya lima peratus.
"Jangkaan ini akan dipacu oleh pengembangan laluan serta kehadiran syarikat penerbangan baharu," menurut nota penyelidikan itu.
Menyentuh kehadiran Malindo Air, RHB Research menjangka AirAsia dan MAS akan menerima kesan langsung kepada laluan masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu atau Kuching.
Malindo Air kini sedang mengadakan tambang promosi (termasuk bayaran bagasi dan perkhidmatan dalam pesawat) serendah RM38 ke Kuching dan RM68 ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.
Kadar itu lebih rendah berbanding RM79 dan RM89 yang ditawarkan AirAsia, manakala tambang MAS pula serendah RM159.
Kota Kinabalu dan Kuching merupakan antara laluan utama AirAsia dan MAS dengan purata kekerapan sehingga 14 penerbangan sehari.
Manakala, Malindo Air akan menawarkan kekerapan penerbangan empat kali sehari ke Kuching dan tiga kali sehari ke Kota Kinabalu melalui dua pesawatnya. Dengan penambahan pesawat baharu sebelum akhir tahun, syarikat itu akan turut menawarkan penerbangan ke Miri, Sandakan, Bintulu dan Sibu.
Bagaimanapun, nota penyelidikan itu kurang yakin dasar tambang murah yang mahu dilaksanakan oleh Malindo Air untuk jangka panjang, memandangkan mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi seperti perkhidmatan dalam pesawat.
Nota penyelidikan itu menjangkakan Malindo Air akan menjadi seperti Firefly.
Comments