Kerugian bersih MAS menyusut



Ahmad Jauhari Yahya (kanan) dan Pengarah Korporat Perkhidmatan MAS, Mohd. Sakri Husin pada sidang akhbar prestasi kewangan syarikat di Subang, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) menyasarkan prestasi kewangan tahun ini lebih baik selepas berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM433 juta tahun lalu, berbanding kerugian RM2.5 bilion yang direkodkan pada 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, trend pertumbuhan kumpulan semakin positif sejak separuh kedua tahun lalu dan dijangka berterusan tahun ini.

"Kami telah memacu semua cabang operasi dengan bersungguh-sungguh seperti aspek pesawat, produktiviti tenaga kerja, produk lebih baik dan keberkesanan bahan bakar.
"Suku pertama tahun ini saya jangka akan lebih baik berbanding suku sama tahun lalu. Melihat ke hadapan, saya melihat keputusan yang lebih baik tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas sesi penerangan mengenai prestasi kewangan 2012 MAS, di sini hari ini.

Bagi suku keempat tahun lalu, syarikat berkenaan berjaya mencatatkan untung bersih sebanyak RM51 juta berbanding RM1.3 bilion tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, tahun ini MAS akan menerima 16 buah pesawat baharu dengan sebahagian besar daripadanya digunakan untuk menggantikan pesawat lama.

Katanya, tiada penambahan kapasiti penumpang secara drastik tahun ini, bagaimanapun MAS akan memperkenalkan laluan baharu iaitu Paris bermula esok dan Hong Kong pada bulan depan.
Mengulas mengenai kesan menyertai perikatan Oneworld, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengira pertumbuhan tetapi kelihatan peningkatan yang ketara.

Comments

Popular Posts