Pesawat pertama Malindo tiba



Chandran Rama Muthy (enam dari kiri) dan Azmi Murad (lima dari kiri) bersama kakitangan Malindo bergambar di hadapan pesawat pertama syarikat itu yang diterima di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

SEPANG 15 Mac - Penerbangan hibrid pertama di Malaysia, Malindo Air (Malindo) hari ini menerima pesawat baharu pertama miliknya yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 4.30 petang hari ini seperti yang dijadualkan.

Pesawat Boeing 737-900ER itu yang berlepas dari Seattle, Amerika Syarikat membawa sekumpulan krew kapal yang diketuai oleh Pengarah Operasi Penerbangannya, Kapten Niazi Saifu-dean Hamid Dean.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, Malindo yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab transit akan menerima 12 pesawat tersebut secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Namun, katanya, sebagai permulaan pihaknya akan beroperasi di peringkat domestik menggunakan tiga pesawat yang bakinya akan tiba pada minggu hadapan.

"Penerbangan pertama Malindo di peringkat domestik akan mula beroperasi pada 22 Mac ini ke Kota Kinabalu, Sabah.

"Manakala, penerbangan antarabangsa pula dijadualkan beroperasi pada Jun ini selepas kita menerima pesawat lain," katanya kepada pemberita pada Majlis Menyambut Pesawat Sulung Boeing 737-900ER di KLIA di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad.
Menurut Chandran, pesawat tersebut yang mampu terbang selama lima jam tanpa henti boleh menampung seramai 180 penumpang untuk dua jenis tempat duduk iaitu kelas bisnes dan ekonomi.
Selain itu, katanya, pesawat tersebut turut menawarkan televisyen persendirian di setiap tempat duduk di samping perkhidmatan bagasi daftar masuk percuma 15 kilogram (kg) untuk kelas ekonomi dan 30kg untuk kelas bisnes.

Dalam pada itu, mengulas sambutan terhadap promosi tambang inklusif serendah RM38 dari Kuala Lumpur ke Kuching dan RM68 ke Kota Kinabalu yang bermula sejak minggu lepas, katanya, pihaknya mendapat sambutan yang baik dan akan meneruskan promosi itu di masa hadapan.

"Sambutan yang diterima sangat memberansangkan dan habis ditempah kerana tiada caj tersembunyi yang dikenakan.

"Di samping itu, kami turut menyediakan sebanyak 10,000 tempat duduk lagi pada harga RM38 dan RM68 sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) nanti," katanya.

Comments

Popular Posts