Pesawat Pan Am di dalam rumah
SEMENTARA kebanyakan mereka yang gemar ke awan biru akan mendapatkan cenderamata seperti koleh atau replika pesawat daripada syarikat penerbangan sebagai tanda kenangan, Anthony Toth, 46, membina pesawat kegemarannya di dalam rumah!
Pengarah Jualan Sistem Penerbangan United itu menghabiskan masa 20 tahun untuk menghimpun memorabilia dari pesawat Pan American World Airways (Pan Am) lalu mengubah suai rumahnya di Pantai Redondo, California seumpama kabin pesawat tersebut.
Toth menghabiskan sehingga AS$200,000 (RM620,000) untuk menyelamatkan barangan di dalam pesawat Pan Am yang syarikatnya ditutup pada 1991 dengan memburunya di serata dunia.
Garaj rumahnya yang berkeluasan 625 kaki persegi (58 meter persegi) diubah suai menjadi kabin kelas pertama lengkap 18 tempat duduk, karpet, fon telinga hinggalah tali pinggang keledar yang mempunyai logo Pan Am.
Kabin pesawat Pan Am milik Toth turut mengandungi barangan perak buatan China Pan Am, selimut dan penutup mata asal Pan Am, malah topeng oksigen serta baju pengapungan keselamatan.
Bahagian kegemarannya adalah tangga berpusing yang membawa ke ruang lepak di dalam Pan Am 747 awal 1970-an.
Kebanyakan barangan Pan Am diperolehi dari Death Valley yang terletak di gurun Mojave, California di mana pesawat yang bersara ditanggalkan untuk dijadikan bahan ganti.
Toth mula obses dengan pesawat Pan Am sejak kecil kerana sering menaiki pesawat tersebut bersama keluarga sekitar 1970-an untuk melawat saudara-mara di Rom dan Budapest.
Ketika itu dia mula mengutip cenderamata seperti lapik gelas kadbod dan lapik dulang malah akan menghabiskan sehingga empat gulung filem dengan mengambil gambar di dalam pesawat sahaja.
Ketika berusia 12 tahun, dia membina kabin kelas pertama olok-olok di dalam bilik bawah tanah rumah keluarganya.
Dia mula membina kabin pesawat secara serius ketika mula bekerja di ruang tamu rumah sewanya lalu membeli rumah yang mempunyai garaj luas bagi menunaikan impiannya.
Walaupun tidak dibuka kepada umum, rakan-rakan Toth sering dipelawa menaiki dan menikmati suasana seolah-olah seperti di dalam pesawat Pan Am.
Comments