MAS tawar diskaun 30% di India



NEW DELHI 5 Mac - Malaysia Airlines (MAS) kini kembali menawarkan jualan tambang udara mega dengan menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi pengembara India ke pelbagai destinasi di Malaysia, seperti Kuala Lumpur dan penerbangan seterusnya seperti Australia, New Zealand, Hong Kong dan Singapura.

Tawaran melalui www.malaysiaairlines. com itu sah bagi tempahan sehingga 15 Mac 2013 dan perjalanan dari sekarang sehingga 30 September 2013 dari Delhi, Mumbai, Hyderabad, Bangalore dan Chennai.

"India adalah salah satu daripada sumber pasaran yang signifikan dan ini merupakan sebab MAS sentiasa memperkenalkan perkhidmatan bernilai tambah bagi pengembara India yang gemar mengembara," kata Naib Presiden Kanan Serantau Asia Selatan dan Asia Barat MAS, Azahar Hamid dalam satu kenyataan.

Katanya, tawaran itu adalah bagi pengguna India yang mengambil berat mengenai harga serta sentiasa mencari urus niaga yang bernilai bagi mengadakan perjalanan ke destinasi percutian.

"Apabila tambang domestik meningkat ke paras tertinggi, kami berbangga menawarkan harga terbaik bagi perjalanan ke destinasi antarabangsa seperti Australia, New Zealand, Thailand dan Indonesia.

"Kami mahu lebih ramai penumpang India mendapat pengalaman di dalam penerbangan kami seperti masakan India dan hiburan di dalam pesawat seperti filem popular terbaharu, program TV, permainan pelbagai pemain dan album lagu-lagu terkenal," katanya.

Harga penerbangan keseluruhan ke Kuala Lumpur dari Delhi ditetapkan Rs27,842 (RM1,556), dari Mumbai Rs23,071 (RM1,289) dan dari Chennai Rs9,849 (RM550).
Tambang ke Sydney dari Delhi ialah Rs48,190 (RM2,693), dari Hyderabad Rs27,584 (RM1,542) dan dari Bengaluru Rs44,315 (RM2,476).

MAS kini mempunyai sambungan yang baik antara lima bandar raya India — New Delhi, Bengaluru, Chennai, Mumbai dan Hyderabad - dengan Kuala Lumpur.
Syarikat itu kini mengendalikan 54 penerbangan mingguan dari India ke Malaysia, yang terdiri daripada 12 penerbangan dengan New Delhi, Mumbai (11 penerbangan), Chennai (14 penerbangan), Hyderabad (tujuh penerbangan) dan Bangalore (10 penerbangan)

Comments

Popular Posts