MAS tingkat kapasiti laluan



KUALA LUMPUR 12 Mac - Malaysia Airlines (MAS) sedang meningkatkan kapasitinya ke laluan-laluan di seluruh jaringannya menerusi penerbangan tambahan dan pesawat berkapasiti tinggi untuk operasi Musim Panas Utara bermula 31 Mac ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua pegawai eksekutif kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, peningkatan kapasiti itu berupaya dilakukan selepas MAS menerima pada purata satu pesawat 737-800 dengan 160 tempat duduk sebulan, dua lagi A380 dengan 494 tempat duduk dan empat A330-300 dengan 283 tempat duduk tahun ini.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti itu adalah aspek utama dalam Pelan Perniagaan MAS dan komitmen untuk meningkatkan hubungan udara dalam negara serta mengambil peluang pasaran Asia Pasifik.
"Kami yakin penambahan saiz kumpulan pesawat akan terus menjana perolehan dan mendapat keuntungan," katanya.
Laluan pergi balik Kuala Lumpur-Paris menyaksikan peningkatan kapasiti mingguan sebanyak 1,484 tempat duduk setiap hala dengan pengenalan pesawat A380 (494 tempat duduk) menggantikan B777-200 (282 tempat duduk, bermula 1 Mac lepas.
MAS juga ingin mengambil kesempatan dari peningkatan trafik udara di Asia Pasifik juga dijangka meningkat kukuh pada 2013.
Mulai 31 Mac ini, kekerapan laluan mingguan KL-Manila juga akan ditingkatkan daripada 25 kepada 28 dengan pengenalan perkhidmatan B737-800 - dengan penerbangan tambahan beroperasi pada Isnin, Jumaat dan Ahad.
Dengan pengenalan perkhidmatan tiga kali seminggu itu, kapasiti laluan tersebut ditingkatkan sebanyak 12 peratus (480 tempat duduk) pada setiap hala.
Bermula hari yang sama, kekerapan pergi balik harian Boeing 737-800 laluan KL-Yangon dan KL-Colombo juga akan ditingkatkan kepada 10 kali seminggu.
Perkhidmatan tiga kali seminggu baharu untuk Yangon akan beroperasi pada Selasa, Jumaat dan Ahad, sementara perkhidmatan yang serupa untuk Colombo akan beroperasi pada Isnin, Khamis dan Sabtu.
Laluan-laluan lain yang akan menyaksikan peningkatan penerbangan tidak lama lagi ialah KL-Dhaka, KL-Denpasar (Bali), KL-Brisbane, KL-Bandar Seri Begawan, KL-Langkawi, KL-Johor Bahru, KL-Kuching, KL-Kota Kinabalu, KL-Miri, KL-Tawau dan KL-Labuan.


Comments

Popular Posts