AirAsia dapatkan nasihat undang-undang

MELBOURNE 25 Jan. - AirAsia Bhd. (AirAsia), sedang mendapatkan nasihat undang-undang selepas Pengawas Pengguna Australia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Badan pengawas itu mendakwa syarikat penerbangan tambang murah tersebut tidak mempamerkan kadar tambang penuh di dalam laman sesawangnya.

''AirAsia mengambil serius tanggungjawab dalam memenuhi perundangan konsumer dan telah beroperasi dengan jayanya di Australia sejak 2007 tanpa sebarang tuntutan,'' katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Syarikat penerbangan itu berkata, mereka sedang menjalankan siasatan dalaman.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) berkata, mereka telah mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia berhubung paparan tambang dari bandar-bandar Australia tanpa memberitahu semua cukai, duti, yuran dan bayaran mandatori lain.

Semalam, AirAsia X menyifatkan tindakan undang-undang yang dikenakan oleh ACCC bukanlah satu isu yang besar, sebaliknya berlaku kerana salah faham.

Berikutan itu, AirAsia X berharap dapat menemui ACCC bagi memberi penjelasan lanjut.

Difahamkan tindakan undang-undang itu sebenarnya dikenakan ke atas AirAsia X dan bukannya AirAsia seperti mana dilaporkan oleh agensi berita.

AirAsia memegang 16 peratus kepentingan dalam AirAsia X.

Perbicaraan berhubung kes itu dijangka pada 2 Mac ini dengan pemerhati mendapatkan injunksi untuk menghalang AirAsia daripada melakukan perbuatan yang mengelirukan pada masa depan.

Comments

Popular Posts