Gantung bukan kerana MAS -Azran
KUALA LUMPUR 15 Jan. - AirAsia X hari ini menolak spekulasi kononnya penggantungan beberapa destinasi utama syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu bertujuan memberikan laluan kepada Pelan Pemulihan Malaysia Airline System Bhd. (MAS).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani menyifatkan dakwaan itu adalah serius dan boleh menimbulkan syak wasangka yang tidak baik terhadap MAS-AirAsia X.
''Dakwaan tersebut langsung tidak relevan serta mereka yang membuat spekulasi itu tidak memahami dan tidak tahu apa yang berlaku dalam industri penerbangan,'' katanya kepadaUtusan Malaysia di sini.
Penggantungan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat mensejajarkan semula laluan untuk memberikan tumpuan kepada pasaran utama.
Para penganalisis tempatan berpendapat tindakan AirAsia X amat menguntungkan MAS kerana syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak perlu lagi bersaing, sekali gus berpotensi untuk meningkatkan pendapatannya.
Tegas beliau, penggantungan destinasi London, New Delhi, Mumbai dan Paris diputuskan oleh Lembaga Pengarah berasaskan kepada kelangsungan AirAsia X.
Beliau berkata, isu penggantungan laluan berkenaan, sebenarnya telah pun dibincangkan sejak 2010, sebelum transaksi pertukaran saham MAS dengan Tune Air lagi.
Azran memberi alasan, keputusan penggantungan itu dibuat kerana sudah tidak mampu menanggung kos minyak yang terlalu tinggi.
Katanya, laluan di London misalnya diperkenalkan ketika harga minyak pesawat hanya AS$40 setong tetapi pada hari ini bahan api itu melonjak tiga kali ganda.
''Pergolakan di Mesir dan Libya pada tahun lalu telah memburukkan keadaan dan kehadiran 2012 juga masih tidak membantu mengekang kenaikan harga minyak.
''Lebih buruk lagi pergolakan di Syria dan ancaman Iran seolah-olah memberi petanda harga minyak terus tidak stabil.
''Situasi terus meruncing apabila Eropah mengenakan cukai pelepasan karbon,'' jelasnya.
Menurutnya, AirAsia X tidak mampu menanggung kos cukai pelepasan karbon kerana jarak perjalanan antara Kuala Lumpur-London adalah 13 jam berbanding Emirates hanya enam jam sahaja.
Beliau berkata, tindakan AirAsia X menaikkan harga tiket sehingga RM3,500 ke London sejak tiga bulan lepas tidak banyak membantu kerana ia mengakibatkan permintaan menjunam antara 10 hingga 20 peratus.
''Tindakan kami menaikkan harga (tiket) menyebabkan ramai penumpang memilih Emirates yang lebih murah
''Harga minyak pesawat sahaja sudah satu pertiga daripada kos, ini belum masuk jumlah cukai kerajaan, cukai lapangan terbang dan cukai pelepasan karbon,'' ujar beliau.
Menjawab pertanyaan awal, Azran berkata, di sebalik dakwaan dan spekulasi tersebut, AirAsia X akan terus memberi persaingan kepada MAS melalui pengenalan destinasi terbaharunya.
Comments