KLIA2 tingkatkan perolehan Brahim's

KUALA LUMPUR 11 Jan - Pembukaan KLIA2 pada April tahun depan dijangka meningkatkan perolehan Brahim Holdings Bhd. (Brahim), kerana lapangan terbang baharu itu boleh mengendalikan tiga kali ganda kapasiti penumpang Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), kata HwangDBS Research.

Katanya, Brahim's yang menyediakan perkhidmatan penyajian dalam penerbangan, akan meraih manfaat daripada perpindahan LCCT ke KLIA2 kerana lapangan terbang berharga RM3.9 bilion itu berbangga dengan keluasan 257,000 meter persegi berbanding 64,000 meter persegi di LCCT.

Pada masa ini LCCT mengendalikan kira-kira 45 juta penumpang setahun.

"Jumlah penumpang yang lebih tinggi ini merupakan petanda baik bagi operasi restoran dan kafe makanan dan minuman (F&B) lapangan terbang Brahim's.

HwangDBS berkata, Brahim's memegang konsesi F&B selama 25 tahun dengan MAS yang tamat tempoh pada 2028, dan mempunyai kontrak dua hingga tiga tahun dengan beberapa syarikat penerbangan lain.

"Ia juga mengendalikan cawangan-cawangan F&B di KLIA dan LCCT, dan memiliki hak pelesenan ke atas Café Barbera di Malaysia, Singapura dan Indonesia," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, oleh kerana Brahim's berhasrat memberikan tumpuan kepada perniagaan teras baharunya dalam bidang perniagaan F&B, difahamkan syarikat itu sedang mempertimbang untuk menjual operasi pergudangan berlesen yang mengalami kerugian.

"Jika ada tawaran, kumpulan itu akan dapat mengurangkan kerugiannya sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta setahun," katanya.

HwangDBS juga berkata, oleh sebab Brahim's telah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Dewina Holdings pada Mei tahun lepas, ia dipercayai merupakan pernyataan hasrat yang kukuh daripada syarikat itu untuk menyuntik lebih banyak perniagaan F&B ke dalam kumpulan itu'. Pada masa ini Dewina Holdings mengendalikan 11 cawangan F&B di KLIA dalam LCCT termasuk Taste of Asia, Burger King dan Café Barbera.

"Berdasarkan ini, kami menganggarkan pendapatan RM3.2 juta setahun bagi setiap cawangan dan apabila KLIA2 siap, kami mengandaikan ia akan memindahkan cawangannya di LCCT ke KLIA2, dan memiliki jumlah cawangan yang sama tahun ini," katanya.

Justeru itu, perolehan ramalan tahun kewangan 2012 oleh firma penyelidikan itu kekal pada RM9.5 juta disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada cawangan-cawangan F&Bnya di lapangan terbang baharu itu.

"Meskipun pendapatan bagi tahun kewangan 2013 dijangka meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM11.8 juta disebabkan oleh pembukaan KLIA2 itu, mungkin ada lagi ruang meningkat bagi perniagaan penyajian jika kumpulan itu mendapat kontrak daripada lebih banyak syarikat penerbangan," katanya.

HwangDBS menyasarkan harga saham Brahim's pada 75 sen berdasarkan 'nilaian bahagian' perniagaannya selepas mengambil kira konsesi penyajian, cawangan F&B dan nilai aset gudangnya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts