Kontrak sulong Eaglexpress

AZLAN Zainal Abidin (kiri) berjabat tangan dengan Mohd. Zairi Zainal sebagai ikatan kerjasama antara Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. dan Noz Usaha Sdn. Bhd. dalam satu majlis, sambil diperhatikan oleh Aseh Che Mat (dua dari kiri) dan Mohammad Yusoff (tengah), di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. – Syarikat penerbangan sewa khas, Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) telah mendapat kontrak pertama bernilai RM35 juta mengangkut jemaah haji dan umrah ke tanah suci.

Kontrak berkenaan diperoleh daripada agensi pelancongan Noz Usaha Sdn. Bhd. (Noz Usaha) untuk membawa jemaah berkenaan dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia untuk tempoh enam bulan.

Pengerusi Eksekutif Eaglexpress, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, penerbangan pertama dijangka bermula pada 2 Mac dengan nilai sewaan RM58,900 sejam untuk pesawat Boeing, B747-400 yang mampu membawa 450 penumpang.

Beliau berkata: ‘‘Kami akan menawarkan sebanyak 31 penerbangan melibatkan 15,000 jemaah negara ini bagi mengerjakan umrah.

“Eaglexpress gembira atas kerjasama ini dan berharap untuk terus menambah bilangan kapal terbang kami bagi mencari lebih banyak pelanggan,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Noz Usaha, Datuk Mohd. Zairi Zainal, Pengarah Muhammadiyah Travel & Tours Sdn. Bhd. (Muhammadiyah Travel), Ayoub Ahmat, Pengarah Urusan Muhammadiyah Travel, Mohammad Yusoff dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eaglexpress, Kapten Azlan Zainal Abidin.

Kata Aseh lagi, syarikatnya yang memulakan operasi pada 16 Januari lalu itu dijangka memperolehi tujuh hingga lapan lagi pelanggan pada tahun ini dan beberapa siri rundingan telah diadakan.

Selain menawarkan perkhidmatan sewa khas bagi tujuan haji dan umrah, syarikat itu juga merancang menawarkan perkhidmatan kargo udara, misi bantuan kemanusiaan tahun ini.

Eaglexpress yang dibiayai oleh pelabur tempatan dan Korea Selatan akan membelanjakan AS$400 juta (RM1.2 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membeli 20 buah kapal terbang.


Comments

Popular Posts