Sekadar salah faham - AirAsia X

KUALA LUMPUR 24 Jan. - AirAsia X menyifatkan tindakan undang-undang yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) bukanlah satu isu yang besar, tetapi sebaliknya berlaku kerana salah faham.

Berikutan itu, AirAsia X berharap dapat menemui ACCC bagi memberikan penjelasan lanjut.

Utusan Malaysia difahamkan, AirAsia X mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusannya dalam menangani tindakan yang bakal dihadapinya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

''Tiada apa-apa lagi dan saya tidak mahu mengulas mengenai tindakan Australia (ACCC),'' kata beliau.

Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu dikenakan tindakan undang-undang oleh Pengawas Pengguna Australia kerana tidak mempamerkan kadar tambang penuh di dalam laman sesawangnya.

Difahamkan tindakan undang-undang itu sebenarnya dikenakan ke atas AirAsia X dan bukannya AirAsia seperti mana dilaporkan oleh agensi berita. AirAsia memegang 16 peratus kepentingan dalam AirAsia X.

Menurut agensi berita, AirAsia yang membuat perkhidmatan penerbangan antarabangsa Australia dari Gold Coast, Melbourne dan Perth serta bakal menambah Sydney sebagai destinasi baharu telah dinamakan dalam dokumen-dokumen di Mahkamah Persekutuan Melbourne.

ACCC, pemerhati pengguna negara itu mendakwa beberapa tambang yang dijual di dalam laman sesawang AirAsia tidak menunjukkan harga sebenar termasuk bayaran cukai, duti, yuran dan bayaran mandatori yang lain.

''Perniagaan-perniagaan yang memilih untuk mengiklankan sebahagian daripada harga produk atau perkhidmatan tertentu perlu juga memperincikan setiap jumlah harga,'' kata agensi berita yang kenyataannya dikeluarkan di Sydney, Australia.

Pengawal selia mendakwa harga-harga tambang itu turut berkait dengan penerbangan dari Melbourne ke beberapa bandar raya lain termasuk London, New Delhi, Hangzhou, dari Gold Coast ke Ho Chi Minh City dan dari Perth ke tempat-tempat lain seperti Taipei dan Phuket di Thailand.

Perbicaraan berhubung kes itu dijangka dibicarakan pada 2 Mac ini dengan pemerhati mendapatkan injunksi untuk menghalang AirAsia daripada perbuatan mengelirukan pada masa depan.

Comments

Popular Posts