MAS dipilih syarikat utama dunia

KUALA LUMPUR 12 Jan — Malaysia Airlines dipilih sebagai "Syarikat Penerbangan Utama Dunia ke Asia" oleh World Travel Awards bagi tahun kedua berturut-turut.

Anugerah kepada syarikat penerbangan nasional itu, sebagaimana yang dipilih oleh profesional pelancongan di seluruh dunia, telah diterima oleh Ketua Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines Datuk Salleh Ahmad Tabrani pada acara gala di Doha, Qatar.

Upacara berkenaan menandakan kemuncak pencarian sepanjang tahun bagi jenama terbaik perjalanan dan pelancongan di dunia, termasuk persaingan di kalangan pemenang serantau World Travel Awards, yang diumumkan sebelum ini bagi anugerah yang diingini di peringkat dunia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Salleh berkata pengiktirafan antarabangsa itu merupakan penghormatan hebat kepada pasukan Malaysia Airlines yang secara konsisten melakukan yang terbaik untuk tetamu syarikat.

"Kemenangan ini adalah perangsang semangat yang tepat pada masanya bagi pasukan kami kerana kami bersedia untuk membawa penyampaian perkhidmatan dan tahap pengalaman pelanggan kami sehingga penanda aras yang lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Malaysia Airlines syarikat penerbangan premium utama."

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya berkata, pengiktirafan itu merupakan elemen penting dalam inisiatif syarikat penerbangan itu untuk memenangi kembali pelanggan sebagaimana yang digariskan dalam pelan perniagaan Malaysia Airlines baru-baru ini.

Comments

Popular Posts