Tindakan MAS untung Emirates

NEW YORK 5 Jan. - Ramai agen pakar penerbangan dan pengembaraan di pantai timur Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa syarikat penerbangan Emirates mendapat faedah besar daripada masalah yang melanda penerbangan kebangsaan, Malaysian Airline System (MAS).

Faedah itu merujuk kepada langkah MAS memberhentikan penerbangan langsung sejak empat tahun lepas antara Lapangan Terbang Newark di New Jersey, yang merupakan sebuah pusat penerbangan yang sibuk di pantai timur AS ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami terkejut apabila MAS mula-mula mengumumkan ia menghentikan operasi Newark. Langkah itu mungkin disebabkan masalah ekonomi yang boleh difahami tetapi terdapat banyak laluan yang tidak menguntungkan yang masih dikendalikan oleh MAS.

"Lagi pun, pantai timur AS adalah laluan paling penting dan berprestasi di dunia bagi syarikat-syarikat penerbangan, di mana banyak syarikat masih mengendalikan laluan itu walaupun memberikan pulangan yang kecil.

"Juga, langkah menghentikan perkhidmatan itu bukan satu langkah strategik yang baik kerana jika anda berbuat demikian sekali, bukan mudah untuk mendapatkan semula hak jika memutuskan untuk memulakan semula penerbangan," kata salah satu agen pengembaraan yang berpangkalan di New York yang menjual tiket MAS tetapi kini mengalihkan kebanyakan penumpang ke Malaysia untuk terbang dengan syarikat penerbangan lain, khususnya Emirates.

Sejak MAS keluar dari Newark, syarikat penerbangan lain telah mencatatkan prestasi menarik bagi pasaran Asia Tenggara yang lumayan itu.

Singapore Airline, yang telah membina rangkaian yang luas hubungan dari JFK di New York dan lapangan terbang Newark New Jersey ke beberapa destinasi di Asia Tenggara, melalui Singapura, kini hampir memonopoli destinasi di rantau itu.

Bagaimana pun, Emirates sedang melakukan usaha agresif bagi menguasai laluan Asia Tenggara, khususnya ke Malaysia.

Ia menjadi syarikat penerbangan pertama mengendalikan perkhidmatan A380 berjadual ke Malaysia.

Paling menarik, kata agen pengembaraan di New York itu, penerbangan EK346 ke Malaysia dikendalikan oleh juruterbang rakyat Malaysia, Kapten Kwong Yung Ling, yang mendarat di KLIA Ahad lepas, dengan diberikan sambutan tembakan meriam air.

Kebanyakan pengembara Malaysia, secara peribadi memberitahu Bernama mereka berminat perhentian di lapangan terbang Dubai kerana peluang membeli-belahnya yang menakjubkan sebelum menyambungkan penerbangan ke KLIA.

Dubai adalah juga perhentian bagi penerbangan ke Newark yang dikendalikan oleh MAS, yang kemudiannya memutuskan untuk menghentikan sektor itu dan beralih ke Stockholm sebelum ke Newark.

Naib Presiden Kanan (Operasi Komersil - Timur Jauh dan Australasia) Emirates Richard Jewsbury berkata, syarikat penerbangan itu sememangnya menanti-nantikan permulaan perkhidmatan Airbus AS380 ke Malaysia, "yang merupakan destinasi kami sejak mengendalikan penerbangan pada 1996".

"Saya pasti mercu tanda bersejarah ini di dalam kedua-dua sejarah penerbangan Malaysia dan Emirates akan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu, sebagai tambahan kepada menggalakkan peluang perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara," kata beliau.

Comments

Popular Posts