AirAsia X gantung 4 laluan

KUALA LUMPUR 12 Jan.- Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X menggantung perkhidmatan antara Kuala Lumpur ke New Delhi, Mumbai, London dan Paris.

AirAsia X dalam kenyataannya di sini berkata, penggantungan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat mensejajarkan semula laluan untuk memberikan tumpuan kepada pasaran utama.

Katanya, AirAsia X akan menggantungkan perkhidmatan empat kali seminggunya ke Mumbai dengan penerbangan terakhir adalah pada 31 Januari ini.

Penerbangan harian ke New Delhi juga akan digantung dan digantikan dengan perkhidmatan empat hari seminggu bermula Mac.

Bagi destinasi Eropah pula menyaksikan perkhidmatan enam kali seminggu ke London akan digantung dengan penerbangan terakhir adalah pada 31 Mac ini manakala penerbangan terakhir ke Paris pula adalah pada 30 Mac.

Pelanggan-pelanggan yang telah membuat tempahan bagi penerbangan selepas tarikh tersebut akan disediakan pilihan penerbangan pilihan tanpa dikenakan kos tambahan.

Kesemua pelanggan yang terlibat akan menerima emel berhubung pilihan yang ditawarkan kepada mereka termasuklah pemulangan kesemua wang, menukar laluan kepada destinasi AirAsia X yang lain ataupun menukar penerbangan dengan menggunakan syarikat lain yang ada.

Syarikat bersekutu AirAsia itu menambah, perubahan ini akan menambah baik keberkesanan kos operasi di samping mengukuhkan rangkaiannya untuk memberi fokus kepada pasaran di mana ia boleh menjadi peneraju pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata, syarikat itu berhasrat menumpukan kepada pasaran utama seperti Australiasia, China, Taiwan, Jepun dan Korea yang dilihat sebagai laluan yang stabil dan menguntungkan.

Beliau berkata, AirAsia X juga berhasrat untuk membuka laluan baharu di dalam pasaran-pasaran berkenaan di samping meningkatkan kekerapan penerbangan bagi laluan sedia ada.

“Harga bahan api yang terus meningkat selain merosotnya permintaan di Eropah akibat kemelut ekonomi semasa serta cukai-cukai kerajaan yang terlalu tinggi menjejaskan operasi penerbangan tambang murah bagi laluan Asia dan Eropah,’’ kata beliau.


Comments

Popular Posts