Travelog AirAsia penuhi cita rasa penonton
PROGRAM Travelog AirAsia yang disiarkan di TV3 pada setiap Ahad pukul 7.30 malam ternyata memberi kesan tersendiri buat peminat program pengembaraan.
Ini kerana program seperti itu banyak membantu orang ramai memilih destinasi percutian dengan bijak.
Sementelah program yang dihos oleh Edd Radzhe itu bukan sekadar memaparkan lokasi percutian di destinasi penerbangan AirAsia dan AirAsia X semata-mata.
Sebaliknya turut mengetengahkan lokasi percutian dan pengembaraan menarik di setiap destinasi yang dipilih.
Menurut Edd, lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan program selama setengah jam itu adalah kawasan membeli-belah, pemandangan indah serta tempat makan halal.
"Kami mendapat respons positif daripada orang ramai yang mengatakan paparan programTravelog AirAsia memudahkan mereka untuk mencari tempat makanan muslim.
"Bila adanya pendedahan sebegitu, permintaan untuk ke destinasi yang pada pandangan masyarakat kita sukar mendapat makanan halal tidak lagi menjadi halangan. Malah permintaan untuk ke Guilin, Hong Kong dan China semakin meningkat," jelasnya.
Program Travelog Air Asia sebelum ini telah menjelajah ke destinasi pelancongan antaranya Bandung, Indonesia; Siamreap, Kemboja dan Paris, Perancis.
Menurut Edd, sokongan terhadap program tersebut juga menggalakkan dengan rating untuk setiap episod mencecah sekitar 1.2 juta penonton.
"Jumlah penonton yang menggalakkan itu memberi suntikan semangat kepada pihak AirAsia untuk terus menghasilkan program tersebut di masa depan," katanya yang terbang bersama-sama krew program tersebut ke Gold Coast, Australia baru-baru ini.
Ditemani Datin Paduka Umie Aida ketika penggambaran di Gold Coast (telahpun disiarkan semalam, 29 Januari), Edd juga memberitahu bahawa pemilihan para artis tidak terbatas.
Antara artis yang pernah bergandingan dengan Edd ialah Maya Karin, Juliana Evans, Linda Hashim, Elfira Roy, Julia Ziegler dan Haiza.
"Pemilihan Umie ke Gold Coast kena dengan konsep sebab di sini ditampilkan aktiviti lasak. Memang sesuai dengan dia. Di masa akan datang, mungkin untuk satu-satu lokasi akan ditampilkan dua artis, gandingan baru dan lama.
"Selain menampilkan lokasi menarik, objektif program adalah untuk memberi kemudahan kepada pelanggan penerbangan AirAsia mengatur percutian mereka dengan sempurna," katanya.
Tambahnya, jika tidak ada apa-apa halangan besar kemungkinan program itu diteruskan kerana banyak destinasi baru diterokai oleh penerbangan tambang murah berkenaan.
Comments