A380 Thai Airways ancaman kepada MAS

FRANKFURT 6 Mei - Thai Airways akan mula menggunakan pesawat A380-800 yang baru dibeli di laluan Bangkok-Frankfurt mulai Disember tahun ini, dan ini boleh memberi ancaman kepada Malaysian Airline System Bhd. (MAS) di sektor tersebut.

Frankfurt merupakan pangkalan penerbangan paling penting Eropah dan tempasal penting trafik pelancongan Jerman ke Malaysia.

Perdagangan perjalanan Jerman dipantau dengan rapat oleh Thai Airways.

MAS menawarkan empat penerbangan seminggu ke Kuala Lumpur walaupun terdapat lebih banyak permintaan terhadapnya.

Berhubung dengan ini, Malaysia tidak dapat merealisasikan potensi penuh pelancongan dalam pasaran Jerman.

Dengan penggunaan pesawat baharu oleh Thai Airways, MAS boleh kehilangan bahagian pasaran di Jerman.

Singapore Airlines juga mengendalikan dua penerbangan setiap hari di sektor Frankfurt-Singapura.

Ia berupaya mengangkut penumpang bukan hanya ke Bangkok, tetapi juga ke Kuala Lumpur, dengan menawarkan kemudahan sambungan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Pesawat A380 baharu Thai Airways itu boleh menampung 507 penumpang dengan 12 tempat duduk bagi kelas pertama, 60 bagi kelas perniagaan dan 435 bagi kelas ekonomi.

Menurut syarikat penerbangan itu, ia akan menerima serahan pesawat tersebut pada suku ketiga tahun ini dan penerbangan pertama ke sektor Frankfurt-Bangkok akan bermula pada 16 Disember.

Frankfurt merupakan destinasi Eropah pertama dan akan menawarkan masa berlepas dan tiba yang lebih selesa.

"Ini akan menyediakan sambungan penerbangan lebih mudah dari Bangkok ke Kuala Lumpur atau Jakarta tanpa penumpang perlu menunggu terlalu lama," kata seorang jurucakap Thai Airways kepada Bernama.

Ini akan menjadi penerbangan harian kedua menghubungkan Bangkok dan Frankfurt.

Selain A380, syarikat penerbangan itu juga menggunakan pesawat Boeing 777-300ER dengan kapasiti 312 tempat duduk bagi penerbangan kedua.

Banyak pengendali pelancongan Jerman yang menawarkan pakej pelancongan ke Malaysia mengeluh dengan hakikat bahawa mereka kehilangan perniagaan ke negara itu disebabkan jumlah penerbangan yang tidak mencukupi.

Thai Airways dan juga Singapore Airlines juga akan mendapat manfaat daripada pengumuman oleh Lufthansa baru-baru ini bahawa ia akan menghentikan laluan ke Bangkok sebagai sebahagian daripada langkah memotong kos.

Syarikat penerbangan Jerman itu terbang ke Kuala Lumpur selepas membuat hentian di Bangkok.

Langkah itu akan memaksa penumpang setia Lufthansa untuk mencari syarikat penerbangan alternatif, dengan Thai Airways atau Singapore Air, yang kini berpeluang meraih faedah daripadanya. - BERNAMA


Comments