Ke mana lagi hala tuju MAS?
Banyak pengajaran boleh diambil daripada sejarah korporat tempatan dan antarabangsa. Sesetengah apabila syarikat mengalami masalah, pihak lain dipersalahkan dan pada masa yang sama pihak satu lagi terus dengan sikap 'nafi'.
Dalam isu pembatalan pertukaran saham Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dengan AirAsia Berhad, kesatuan dan kakitangan MAS berasa lega. Tetapi tanpa perjanjian itu lagi bukan bermakna syarikat mereka bekerja menjadi bertambah baik.
Laluan di hadapan masih panjang dan berliku serta berlubang-lubang sana sini yang perlu dibaikpulih dan ditambah baik supaya MAS kembali catat keuntungan.
Hakikatnya luka-luka MAS masih berdarah dan memerlukan rawatan daripada doktor pakar. MAS juga perlukan bantuan kakitangan sebagai pembantu perubatan. Preskripsi atau cara mengambil ubat-ubatan yang tidak betul juga boleh memudaratkan lagi MAS.
Dalam konteks ini, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Rohami Shafie berpendapat pembatalan pertukaran saham MAS dengan AirAsia menggambarkan suara para pekerja didengari.
"Perkara pokoknya adalah kebajikan para pekerja. Sebab itulah Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Mas (MASEU) menyifatkan keputusan kerajaan untuk membatalkan pertukaran saham dengan AirAsia tepat sama sekali. Sebelum ini kedudukan para pekerja samar-samar dan tidak menentu dan mereka bimbang apa akan terjadi kepada mereka.
"Kesan ini tidak baik bagi mana-mana organisasi dari sudut motivasi dan produktiviti para pekerja. Apabila suara mereka didengar, maka segala usaha oleh MASEU telah berjaya. Para pekerja boleh fokus pada urusan kerja mereka tanpa perlu rasa bimbang lagi kedudukan mereka," kata penganalisis ekonomi ini melalui emel.
Pada hakikatnya MAS ada masalah, bukan kerana ia ketinggalan daripada pembangunan industri penerbangan tetapi kerana 'kenyataan penafian' yang dibuat hinggakan perubahan yang hendak diterapkan berjalan perlahan dan wujud pula tentangan terhadap pembaharuan.
Kemunculan pesawat baru A380 bagi laluan KL-London pada Julai akan datang ini hadir lima tahun selepas Singapore Airlines melancarkan Superjumbonya dalam perkhidmatan komersial. Kini Singapura sudah mempunyai 74 pesawat A380.
Dalam masa yang sama, apabila AirAsia melancarkan kemudahan tempahan tiket secara dalam talian pada 2002, ia menjadi syarikat penerbangan kedua di Asia menggunakan perkhidmatan tanpa tiket sepenuhnya.
Namun, sehingga 2004 akhirnya MAS melancarkan kemudahan tempahan tiketnya secara dalam talian.
Nampaknya, MAS lambat membuat perubahan yang diperlukan supaya seiring dengan perkembangan industri semasa.
Maaf jika dikatakan masalah MAS boleh menjadi sama dengan pengalaman syarikat kereta General Motors Co. (GM). "Setiap organisasi harus berubah atau mati. Maka kamu hilang daya saing. Pada akhirnya, kamu harus mencipta budaya yang bukan sahaja menerima perubahan tetapi mencari-cari bagaimana hendah berubah," kata CEO dan Pengerusi General Motors Co., Dan Akerson.
Apabila GM memfailkan perlindungan Chapter 11 daripada peminjam-peminjamnya pada 2009, ia merupakan kes terbesar dalam sejarah bangkrap.
Dalam sebahagian pelan pemulihan GM menutup 14 kilang, 2,400 pengedar, 21,000 jam kerja berbayar, 8,000 kerja kolar putih dan menanggung AS$79 bilion hutang.
Sejak GM membuat 'turnaround' secara drastik, ia mencatatkan keuntungan AS$4.7 bilion pada 2010 diikuti rekod keuntungan AS$7.6 bilion pada 2011 dan baru-baru ini mengumumkan keuntungan AS$1.35 bilion pada suku pertama 2012.
Jika GM boleh dan mampu melakukan pusingan 360 darjah, begitulah diharapkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan MAS.
Baru-baru ini MAS mencatatkan kerugian RM2.5 bilion bagi tahun kewangan 2011 yang berakhir pada 31 Disember lalu. Lebih 40 peratus laluannya mencatatkan kerugian, malah kurang penumpang.
Apakah yang patut MAS dan kakitangan lakukan untuk pastikan syarikat penerbangan Negara kembali catat untung. Menurut Rohami, MAS perlu mencari ahli lembaga pengarah terbaru bagi mengisi kekosongan yang ada dan mereka mestilah di kalangan yang benar-benar pakar dan terbaik dalam industri penerbangan.
Kata Rohami yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia, MAS juga perlu ada model perniagaan yang bagus kerana model yang sedia ada mungkin tidak sesuai untuk industri penerbangan yang semakin kompetitif. Lebih-lebih lagi Dasar Langit Terbuka pada tahun 2015 membuatkan industri penerbangan semakin kompetitif.
"Daya saing MAS perlu ditingkatkan. Fokus utama adalah bagaimana untuk melaksanakan pelan dan model perniagaan baru yang boleh menjadikan operasi MAS lebih cekap bagi mencapai misi dan visi MAS. Satu elemen yang cukup penting adalah dari sudut pengurusan risiko MAS.
"MAS perlu mengurus risiko-risikonya dengan lebih baik agar segala pelaksanaan daripada pelan dan model perniagaan yang baru dapat dilaksanakan dengan lebih kukuh lagi," jelas Rohami.
Beliau berpendapat, MAS dan kakitangan tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Perlu ke depan dengan berusaha lebih gigih lagi. Tingkatkan produktiviti, rangka perancangan dengan lebih jitu dan dilaksanakan perancangan tersebut seperti yang dirancangkan.
Pengurusan atasan dan para pekerja perlu berani ke hadapan, dinamik dalam merebut peluang sedia ada umpamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam bidang perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan juga bidang pelancongan.
"MAS juga perlu merangka semula laluan-laluan penerbangan di samping melihat balik pasaran tujahan (niche market) di luar negara. Kerjasama erat dengan AirAsia dalam bidang-bidang tertentu satu lagi usaha yang boleh meningkatkan prestasi MAS.
''Persaingan sihat di antara MAS dan AirAsia juga boleh meningkatkan prestasi MAS. MAS boleh mengambil peluang dalam Dasar Langit Terbuka 2015 dengan meningkatkan lagi prestasi Firefly sebagai satu lagi alternatif penerbangan tambang murah. Dengan cara ini, keuntungan bakal dicatatkan dalam tahun-tahun mendatang," kata pensyarah itu lagi.
Kepada Rohami, MAS perlu lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak semestinya dengan AirAsia sahaja. Kerjasama seperti berkongsi kepakaran dengan syarikat antarabangsa boleh menjadikan transformasi perniagaan MAS lebih ketara.
Ambil contoh bagaimana Petronas bekerjasama dengan Shell dan Exxon dalam industri minyak dan gas dan akhirnya membawa keuntungan yang lebih baik kepada Petronas. Rundingan demi rundingan perlu dibuat dengan pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan lagi penguasaan pasaran MAS di peringkat antarabangsa.
Comments