USIM, AirAsia meterai kerjasama

SEREMBAN 8 Mei - Seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini berpeluang menikmati pelbagai manfaat apabila menaiki penerbangan AirAsia Bhd. (AirAsia) melalui pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara kedua-dua belah pihak di sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung akan membawa pelbagai faedah kepada seluruh kakitangan termasuk penuntut USIM yang menggunakan perkhidmatan penerbangan syarikat berkenaan.

"Melalui LOI, faedah yang bakal dinikmati termasuk tiada penalti dikenakan jika penumpang melakukan perubahan tarikh dan masa dalam tempoh 24 jam sebelum penerbangan dijadualkan.

"Selain itu, kita juga ditawarkan Waran Perjalanan Udara Awam seperti yang dinikmati penjawat awam. Ia akan menjimatkan kos perbelanjaan menaiki penerbangan," katanya pada majlis tersebut di USIM, Nilai baru-baru ini.

Jelasnya lagi, faedah lain meliputi tiada caj tambahan dikenakan terhadap berat bagasi yang melebihi had.

"LOI amat penting kerana ia akan memudahkan lagi perjalanan udara warga universiti ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Serantau Pembangunan Kerajaan dan Timur Tengah AirAsia, Datuk Abdul Nasser Abu Kassim berkata, LOI tersebut diharapkan dapat membantu USIM mengurangkan kos penerbangan seluruh warga universiti itu.

Comments

Popular Posts