Kerjasama mas-airAsia harus diteruskan - Dr. Mahathir

KUALA TERENGGANU 3 Mei - Kerjasama antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia), harus diteruskan demi kepentingan kedua-dua syarikat penerbangan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan jalinan kerjasama berkenaan, MAS akan dapat belajar daripada AirAsia dan begitu juga sebaliknya.

"Saya nampak orang menentang bukan kerana kerjasama yang dijalin keduanya, tetapi cara pertukaran saham syarikat penerbangan berkenaan. Ini yang dibantah oleh banyak orang.

"Tetapi mereka tidak bantah tentang kerjasama. Jadi sekarang ini, ia (pertukaran saham) dibatalkan manakala kerjasama harus diteruskan. Ini kerana MAS boleh belajar banyak perkara daripada AirAsia.

"Tambang (AirAsia) cukup murah, kadang-kadang percuma, tetapi ia masih kekal memberi khidmat sudah 10 tahun. Sepatutnya ia dah bankrap. Sedangkan MAS dapat bantuan kerajaan sehingga RM3 bilion, tetapi masih rugi setiap tahun," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti' anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan lebih 5,000 peserta.

Dr Mahathir berkata beliau berharap MAS dapat belajar daripada AirAsia dan begitulah sebaliknya akan ada kerjasama kedua-duanya agar mereka lebih berkembang maju.

Semalam, Khazanah Nasional Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd. setelah gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu.

Menurut kenyataan itu, Khazanah berkata, pihak terbabit bersetuju untuk menukar semula pemegang saham bersilang dan kembali kepada struktur asal pemegangan saham utama kedua-dua syarikat. - BERNAMA

Comments

Popular Posts