Masa untuk MAS terus terbang tinggi

Penerbangan Malaysia (MAS) akan berdiri sama tinggi dengan syarikat penerbangan besar lain apabila pesawat super-jumbo A380 beroperasi tidak lama lagi.

SAYA tertarik dengan surat Yusoff Hakimi bertajuk Benarkah Air Asia menangguk di air yang keruh? dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 3 Mei 2012.

Penulis ialah seorang pemegang saham MAS seolah-olah meluahkan rasa tidak puas hati transaksi yang berlaku serta masa depan yang tidak menentu apabila kebanyakan kakitangan pentadbiran kanannya di peringkat pengurusan dimonopoli oleh pegawai-pegawai kanan Air Asia.

Dalam masa yang sama juga diberitakan bahawa Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan bahawa pertukaran saham antara Malaysia Airline Sistem Bhd. (MAS) dan Air Asia Bhd. (Air Asia) dibatalkan serta-merta.

Tepat sekali tindakan Khazanah yang membuatkan keputusan sebegitu dalam masa yang agak genting kerana itulah cara dan kaedah yang terbaik dilakukan bagi menyelamatkan keadaan sebelum nasi menjadi bubur.

MAS sepatutnya kembali kepada urusan pentadbiran asalnya walaupun kini agak perlahan tetapi pada saya setiap masalah ada jalan keluarnya.

Hanya masa dan kebijaksanaan di pihak pengurusan akan menentukan segalanya.

Jangan sekali-kali melanggar petua dalam selok-belok atau sepak terajang dalam sesuatu perniagaan.

Umpamanya pemilik kilang kicap 'A' sanggup membeli keseluruhan kilang kicap 'B' dengan apa harga sekali pun semata-mata untuk menyekat saingan kilang kicap 'B' itu tadi dari maju dan ini sering berlaku di dalam perniagaan.

Inikan pula kita mempelawa masuk syarikat yang telah bersaing hebat dengan kita yang ibarat 'orang yang mengantuk disorongkan bantal' dan sudah tentu peluang sebegini tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

Lalu berlakulah 'pilih kasih' dan ketidakadilan dalam pengurusan dengan cara terancang yang mungkin sukar untuk dikesan dalam masa yang singkat.

Saya cadangkan untuk mengemas kini dan mengembalikan MAS ke tahap sebagai sebuah syarikat gergasi yang berdaya maju, MAS perlu memilih peneraju yang mantap dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.


Comments

Popular Posts