AirAsia belanja RM15 juta untuk penjenamaan

SEPANG 11 Mei - AirAsia Bhd. (AirAsia) merancang membelanjakan AS$5 juta (RM15.33 juta) daripada keseluruhan perbelanjaan modal (capex) syarikat penerbangan tambang murah itu bagi tahun 2012 untuk kegunaan penjenamaan. Ketua Komersial Kumpulan, Kathleen Tan berkata, penjenamaan merupakan antara elemen terpenting bagi AirAsia menonjolkan imejnya dan juga selari dengan sambutan ulang tahun kesepuluh syarikat penerbangan tersebut tahun ini. "Kita bukan sahaja bercakap mengenai penjenamaan AirAsia di negara ini, malah ia turut meliputi setiap negara di mana kami beroperasi. "Untuk menjadi sebuah syarikat berjenama global, kami perlu menonjol dan mempunyai keseragaman dari segenap aspek, malah di AirAsia kami memandang jenama sebagai sesuatu yang sangat penting. Apa yang telah dikecapi selama 10 tahun ini adalah hasil kerja keras kami memperkenalkan AirAsia sebagai satu jenama yang unggul," katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena pelancaran wajah baru syarikat tersebut selain memperkenalkan pakaian seragam baru bagi krew kabin di sini hari ini. Menurut Kathleen, strategi penjenamaan ini merangkumi iklan baru yang akan disiarkan di stesen televisyen di seluruh ini, uniform hujung minggu bagi petugas kabin, wajah baru pejabat korporat, kaunter daftar masuk serta pesawat baru. Tambah beliau, aktiviti penjenamaan tersebut sejajar dengan kempen "10 Awesome Years" yang dijalankan AirAsia sejak Disember lalu yang dimulakan dengan penghapusan bayaran daftar masuk bagi penerbangan antarabangsa, pengurangan bayaran bagasi serta penilaian semula harga makanan. "Buat masa ini, kami mahu memberi penekanan kepada aktiviti penjenamaan bagi hab-hab utama seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta. "Fokus kami adalah menjayakan penjenamaan baru ini dengan bersungguh-sungguh sehingga hujung tahun ini," ujar beliau lagi. Ditubuhkan sejak 10 tahun lalu, AirAsia telah terbang ke 152 laluan di 24 negara.

Comments