Harga minyak turun, AirAsia untung
KUALA LUMPUR 18 Mei - Kejatuhan harga minyak mentah adalah berita baik bagi AirAsia Bhd kerana ini boleh meningkatkan keuntungan syarikat penerbangan tambang murah itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, hari ini.
Melalui akaun Twitternya, beliau malah membayangkan kemungkinan memperkenal tambang murah selanjutnya.
“(Harga) minyak turun. Berita baik bagi keuntungan AirAsia. Di sini, permintaan pasaran amat baik, juga bererti tambang lebih murah," katanya.
Baru-baru ini OSK Research berkata, ia yakin tentang keuntungan AirAsia kerana permintaan bagi perjalanan tambang murah terus kukuh, faktor bebanan bertahan manakala perolehan daripada operasi AirAsia di Thailand akan mengimbangi kenaikan harga bahan api kapal terbang.
Harga minyak mentah jatuh ke paras kurang daripada AS$107 setong hari ini, yang terendah tahun ini, ekoran kebimbangan yang semakin memuncak tentang keadaan tidak menentu selanjutnya dalam ekonomi-ekonomi Eropah.
Pada Mac, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan penurunan penarafan bagi prospek industrinya bagi tahun ini, dan mengurangkan anggaran keuntungan global kepada AS$3 bilion daripada AS$3.5 bilion sebelumnya, disebabkan oleh harga minyak yang semakin meningkat.
Di Malaysia, AirAsia dan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines, menandatangani perjanjian kerjasama tambahan untuk meneroka bidang-bidang keperluan bersama untuk mencapai penjimatan dan meningkatkan kecekapan berikutan pembatalan cadangan pertukaran saham.
Comments