MAS, AirAsia sasar jadi hab penyelenggaraan pesawat serantau
KUALA LUMPUR 6 Mei - Perjanjian usaha sama tambahan (SA) yang dimeterai antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia), akan membuka ruang untuk negara menjadi hab penyelenggaraan pesawat serantau, kata penganalisis.
Naib Presiden Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, menerusi SA itu, kedua-dua syarikat penerbangan bersetuju menjalin usahasama dalam aktiviti pemerolehan dan penyelenggaraan, yang dilihat sebagai langkah yang baik dan menawarkan peluang perniagaan yang besar.
"Ini bermakna mereka mahu membeli pesawat bersama-sama, peralatan komponen akan dibeli bersama-sama (menerusi syarikat usaha sama itu), yang akan menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan serantau," katanya pada satu temu bual di sini hari ini.
Laporan menyebut inisiatif pemerolehan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu dijangka menjurus kepada kecekapan menerusi penerokaan potensi penyumberan luar aktiviti penyelenggaraan masing-masing menerusi syarikat usaha sama (JV) yang diwujudkan hasil persetujuan bersama.
Antara bidang utama yang boleh diteroka termasuk barangan perbelanjaan tinggi seperti bahan api, insurans, teknologi maklumat dan komunikasi.
Bagi penyelenggaraan komponen pesawat, perkhidmatan sokongan dan baik pulih, beliau berkata syarikat penerbangan berkenaan akan meneroka bersama-sama penubuhan syarikat JV, termasuk mengenal pasti daya maju dan strukturnya.
Nazri berkata, pada masa ini, lembaran imbangan syarikat penerbangan negara tidak kukuh, dengan hanya memiliki RM1 bilion tunai dalam tangan dan RM3 bilion dalam bentuk bon.
Beliau berkata, MAS memerlukan RM2 bilion lagi bagi memenuhi RM6 bilion perbelanjaan modalnya tahun ini.
Mengenai sama ada MAS akan melalui satu lagi pusingan pengurangan kos, beliau berkata, syarikat penerbangan itu sudah melaksakan banyak pengurangan kos menerusi dua pelan transformasi sejak sedekad lepas.
"Saya berpendapat ia agak terhad. MAS dan AirAsia mempunyai model berlainan, dan oleh itu ia wajar belajar daripada Singapore Airlines (SIA) berbanding AirAsia.
"Semasa SIA melalui tempoh yang sukar, mereka membuat perbelanjaan yang lebih besar ke atas perkhidmatan bagi memenangi kesetiaan pelanggan, oleh itu saya berpendapat penjimatan kos tidak berdaya maju. Air Asia berlainan memandangkan ia bermain dengan kecekapan kos," kata Nazri.
Sebaliknya, AirAsia boleh menyuntik lebih banyak wang, menggunakan rantaiannya dan pada masa yang sama tidak menyaingi syarikat penerbangan nasional itu bagi membolehkan MAS, katanya. - BERNAMA
Comments