Indonesia tangguh beli Sukhoi Superjet 100

JAKARTA 10 Mei - Penjualan pesawat Sukhoi Superjet 100 buatan Rusia akan dihentikan sementara di Indonesia.

Keputusan itu diumumkan Perunding PT Trimarga Rekatama yang merupakan agen penjual pesawat Sukhoi yang menjadi perantara antara pembeli di Indonesia dengan pembekal pesawat berkenaan.

Ia dibuat ekoran nahas pesawat Sukhoi Superjet 100 di daerah Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat, semalam.

Penjualan pesawat berkenaan akan dilakukan selepas memperolehi laporan siasatan nahas tersebut, kata Perunding PT Trimarga Rekatama, Indra Djani.

"Kalau ada kemalangan, biasanya kita akan menunggu atau menghentikan sementara urus niaga sehingga memperoleh laporan siasatan berhubung punca kecelakaan," katanya.

Pemerintah Indonesia telah membentuk sebuah pasukan penyiasat dianggotai Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional dan pasukan dari Rusia.

Pada masa ini, terdapat empat pembeli serius dari Indonesia yang berminat membeli Sukhoi, termasuk syarikat penerbangan Sky Aviation yang mahu membeli 12 unit dan Queen Air yang merancang membeli enam unit.

Sukhoi Superjet 100 merupakan pesawat penumpang terbaru buatan Rusia dalam usaha mengembalikan Rusia sebagai teraju industri penerbangan.

Kecelakaan Superjet 100 di Indonesia ini merupakan yang pertama bagi pesawat komersial Sukhoi.

Superjet 100 yang hilang di Indonesia itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia merangkumi promosi di enam buah negara Asia iaitu Indonesia, Kazakhstan, Pakistan, Myanmar, Laos, dan Vietnam.

Nahas itu dijangka memberi tamparan hebat kepada Rusia yang meletakkan harapan tinggi agar Sukhoi bakal menjadi pesawat yang digunakan di banyak negara.

Pesawat ini dilaporkan mampu mengangkut 98 penumpang dan terbang sejauh 3,048 kilometer atau 4,578 kilometer untuk versi pesawat jarak jauh, dengan ketinggian terbang hingga 12,200 meter.

Pesaing Sukhoi pada pasa ini ialah Embaer dari Brazil dan Bombardier (Kanada). - UTUSAN


Comments