AirAsia berharap MAHB tidak naikkan caj terminal KLIA2
KUALA LUMPUR 26 Julai - Satu komitmen jitu yang termeterai secara 'hitam putih' mengenai caj lapangan terbang yang tetap di terminal penerbangan kos rendah kedua (KLIA2) diperlukan bagi menyejukkan ketegangan yang berlaku antara Ketua AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kata Tan Sri Rafidah Aziz.
Pengerusi AirAsia X, anak syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia itu berkata, syarikat penerbangan itu mahu mendapatkan dua komitmen jitu dari MAHB, iaitu yang pertama, bilakah lapangan terbang itu akan siap beroperasi dan yang kedua, caj lapangan terbang tidak akan dinaikkan sebaik terminal baru itu siap kelak.
"Sememangnya kami tahu bahawa mereka (MAHB) kini memerlukan sedikit tempoh lanjutan. Kami sudah mengambil kira perkara itu tetapi sebelum itu (AirAsia berpindah ke KLIA2), kami mahu mendapatkan sedikit komitmen.
"Jika ada kenaikan caj lapangan terbang, ia tidak adil kepada syarikat-syarikat penerbangan, terutama sekali AirAsia dan AirAsia X, kerana kami akan juga perlu menaikkan caj.
"Kami adalah syarikat penerbangan berkos rendah dan kami tidak dapat menanggung caj tambahan," kata Rafidah, sambil menyatakan bahawa kedua-dua syarikat penerbangan itu telah menggantung laluan ke beberapa destinasi disebabkan caj lapangan terbang yang tinggi.
Ketika ditanya sama ada AirAsia Bhd. meminta dilaksanakan perjanjian pada peringkat perkhidmatan (SLE), bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata: "Asalkan ada sesuatu dalam hitam putih untuk menyatakan caj berkenaan tidak akan dinaikkan, ia baik bagi kami.
"Kami mahu menjadikannya (perjanjian) lebih kukuh, kami boleh menjalin perjanjian perundangan. Tetapi, ia bukan masalah semasa. Pada saya, satu perjanjian perundangan adalah satu masalah yang paling kecil," katanya kepada Bernama.
LCCT yang berharga antara RM3.6 bilion dan RM3.9 bilion, dijadualkan beroperasi pada April 2013, selepas berlaku beberapa kelewatan.
KLIA2, yang pada awalnya dijadual beroperasi tahun ini, akan menjadi LCCT terbesar apabila siap pada April tahun depan dan mampu mengendalikan 45 juta penumpang, iaitu tiga kali kapasiti berbanding LCCT semasa.
Kebanyakan perolehan lapangan terbang itu dijangka dijana dari jualan runcit dan dan KLIA2 akan mempunyai ruang komersial seluas 50,000 meter persegi.
Tony Fernandes yang sensitif pada harga telah menyuarakan secara terbuka mengenai kenaikan kos lapangan terbang baru itu kerana bimbang kos tambahan akan dikenakan kepada AirAsia, iaitu penyewa terbesar KLIA2.
Mengenai perkara itu, Rafidah berkata, komunikasi berkesan dua hala adalah penting di dalam perniagaan penerbangan dan di dalam kes ini, melibatkan pengendali lapangan terbang itu dan AirAsia
Comments