Cessna terhempas, juruterbang Singapura maut

Beginilah keadaan pesawat ringan yang terhempas dan mengorbankan juruterbangnya di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi, Pontian Johor, semalam. - utusan/Nasirruddin Yazid

PONTIAN 29 Julai - Seorang juruterbang warga Singapura terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dipandunya terhempas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 1.30 petang itu menyebabkan mangsa, Samuel Ling Shi Min, 25, dari Kelab Penerbangan FRAS maut di tempat kejadian.

Utusan Malaysia difahamkan mangsa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai, Johor Bahru.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Tan Moh Chuan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.10 petang daripada orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Mayat mangsa telah dikeluarkan daripada pesawat oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian kira-kira dua jam kemudian dan kami kini menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Penerbangan Awam mengenai punca nahas berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Shafian Buang, 15, berkata, ketika kejadian dia sedang menyapu sampah di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian apabila melihat pesawat tersebut berpusing di udara sebelum terjunam.

Menurut Mohd. Shafian, pesawat tersebut kemudian hilang daripada penglihatannya sebelum dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah ladang berkenaan.

"Saya terus bergegas ke ladang itu dan sebaik sampai di sana, saya lihat seorang lelaki tersepit di bawah pesawat berkenaan yang sudah remuk. Saya kemudian terus bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kepada bapa saudara saya yang merupakan seorang anggota polis," katanya.

Comments

Popular Posts