MASkargo mula terbang ke Colombo
COLOMBO 6 Julai - MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) mencipta sejarah apabila melancarkan penerbangan pengangkutan A330-200 pertama ke Colombo, Sri Lanka bagi membantu pembangunan ekonomi negara.
MASkargo merupakan divisyen kargo bagi Malaysian Airline System Bhd. (MAS).
Pesawat pengangkut A330-200 yang baru dimiliki itu dijadual terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike dari Kuala Lumpur setiap Jumaat dan balik pada hari yang sama.
Laluan penerbangan mingguan ini adalah dari Kuala Lumpur (KUL) - Chennai (MAA) - Colombo (CMB) - Kuala Lumpur (KUL).
Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan & Perkhidmatan Penerbangan Pengangkutnya, Jamaludin Ismail berkata, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sri Lanka yang menggalakkan sebanyak 7.9 peratus pada suku pertama tahun ini, ia menunjukkan potensi besar untuk MASkargo berkembang di pasaran ini.
''Kerjasama dengan Hemas Air Services sebagai rakan niaga, MASkargo yakin kehadirannya dapat dirasai di negara itu," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
MASkargo baru-baru ini menerima penghantaran pesawat pengangkut A330-200 keempat dan terakhir yang dapat memberi manfaat kepada dua pesawat pengangkut 747-400F sedia ada.
Kombinasi kedua-dua jenis pesawat ini akan membolehkan MASkargo untuk mengembangkan rangkaian mereka dengan menguruskan kapasiti permintaan dengan lebih baik.
Pesawat pengangkut bersaiz sederhana A330-200F merupakan pesawat dunia termoden dengan enjin Pratt Whitney PW4170 dipertingkat.
Comments