MAS sasar transaksi MH Mobile lebih 500 peratus

Al-Ishsal Ishak (dua, kiri) bersama Rahul Shingal (dua, kanan) pada majlis pelancaran pengumuman kerjasama antara MAS dengan PayPal di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 5 Julai - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) menyasarkan pertumbuhan jumlah transaksi pelanggan menggunakan aplikasi MH Mobile melebihi 500 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.
Naib Presiden Eksekutif, Pemasaran dan Promosinya, Al-Ishsal Ishak berkata, pertumbuhan besar berkenaan dijangka disumbangkan oleh sistem pembayaran baru menerusi kerjasama dengan PayPal.
"Tahun lalu, MH Mobile telah mencatatkan pertumbuhan 500 peratus dan kami yakin akan mengatasi pertumbuhan tersebut dengan memperkenalkan laman sesawang baru dan kerjasama dengan PayPal.
"Daripada sasaran pertumbuhan MH Mobile tersebut, separuh atau majoritinya adalah pelanggan yang menggunakan sistem pembayaran PayPal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman kerjasama antara MAS dengan PayPal dan pelancaran sistem pembayaran mudah alih terbaru.
Turut hadir Pengarah Rantau, Bahagian Mudah Alih, PayPal Asia Pasifik, Rahul Shingal.
Al-Ishsal berkata, MAS juga telah menetapkan sasaran bahagian perniagaan digital akan menyumbang antara 20 hingga 30 peratus kepada perolehan Kumpulan tahun ini, meningkat sebanyak 100 peratus.
"Setakat Jun ini, kami telah mencapai separuh daripada sasaran tersebut dan kami berada di landasan yang betul," jelasnya.
Beliau berkata, MAS juga akan melancarkan laman sesawang baru malaysinaairline.com dalam tempoh dua bulan lagi memberi lebih banyak kemudahan kepada pelanggan.
"Lebih banyak sistem pembayaran baru dan penggunaan tujuh jenis mata wang utama dunia untuk sebarang transaksi penerbangan dengan MAS," katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai aplikasi pembayaran baru PayPal menerusi MH Mobile, Rahul berkata, pelanggan mampu menjimatkan masa pembelian tiket daripada enam minit ketika ini kepada kurang daripada dua minit.
"Aplikasi ini jauh lebih pantas dengan hanya dua klik transaksi akan berjaya. Sistem PayPal ini lebih mudah dikendalikan berbanding pembayaran menggunakan kad kredit," ujarnya.

Comments

Popular Posts