Ganti pesawat, MAS lebih kompetitif

PESAWAT Airbus, A380 baru milik Malaysian Airline System Bhd. (MAS) melintasi pesawat Boeing, B747-400 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. MAS akan menghentikan perkhidmatan B747-400 pada tahun depan. - BERNAMA

SUBANG 22 Julai - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) akan memberi penekanan terhadap aktiviti penggantian angkatan pesawat (refleeting) pada masa depan bagi memastikan ia terus mampu bersaing dengan menggunakan pesawat yang moden dan efisien.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Nor Yusof (gambar) berkata, adalah penting kepada syarikat mempunyai akses kepada penggantian pesawat kerana sesuatu perniagaan tidak hanya tertumpu semata-mata mendapatkan keuntungan tetapi juga kemampuan untuk berkembang.

''Dahulu kita tidak mampu melakukannya kerana kita tidak mempunyai modal yang mencukupi. Oleh itu adalah penting untuk kita menjana modal dengan menubuhkan syarikat khas (SPV) bagi pembelian pesawat, melakukan terbitan sukuk dan mencari dana tambahan sekiranya ia diselarikan MAS mampu berjaya," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nor, pesawat-pesawat MAS kini berusia lebih 15 tahun merupakan salah satu faktor syarikat penerbangan kebangsaan itu sukar bersaing berikutan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi serta penggunaan bahan api yang tidak efisien.

Bagaimanapun, tambah beliau, pengurusan baru MAS komited untuk membeli lebih daripada 60 buah pesawat baru bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

''Kita meneruskan hasrat ini walaupun kita (MAS) tidak mempunyai keupayaan (kewangan) ketika ini. Ia merupakan sesuatu yang baik yang telah mereka lakukan. KIta perlu bermula dari bawah

''Malah kita bernasib baik kerana telah membuat pesanan lebih awal dan kini pengurusan bersemangat untuk meneruskan misi terutama dengan kehadiran pesawat Airbus, A380 yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjual semula jenama MAS," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Nor menjelaskan pengurusan MAS diberi kuasa penuh untuk menentukan hala tuju syarikat penerbangan itu.

Katanya, apa yang penting bagi MAS adalah mengukuhkan kedudukan dan membina semula kedudukan kewangan yang merupakan cabaran paling utama syarikat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberi peluang dan ruang kepada MAS bagi membolehkannya menjalankan pelan perniagaan sebelum mereka menghakimi syarikat kerana sesuatu usaha yang dilakukan memerlukan sedikit masa untuk melihat hasilnya.

''Bagi MAS sendiri setiap tiga bulan kita akan memantau perkembangan supaya kesemua operasi kami berjalan lancar termasuk penerbangan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kerjasama dengan AirAsia Bhd. (AirAsia), Mohd. Nor berkata, ia perlu bersandarkan kepada nilai komersial dan mendapat persetujuan dan mendapat manfaat secara bersama.

''Bagi MAS, kerjasama itu perlu tetapi ia bukan merupakan sesuatu yang penting atau kritikal pada masa ini," katanya.

Comments