Skip to main content

Bekal juadah penumpang

Cetak
Pramugari AirAsia menunjukkan antara perisa minuman Chatime pada majlis pengenalan Bubble Tea di Kuala Lumpur, semalam.
Pramugari AirAsia menunjukkan antara perisa minuman Chatime pada majlis pengenalan Bubble Tea di Kuala Lumpur, semalam.
AirAsia tawar syarikat F&B promosi makanan dalam pesawat
AirAsia Bhd membuka peluang kepada syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan untuk menjadi pembekal makanan kepada penumpang penerbangannya. Ketua Serantau, Katering, dan Perniagaan Dalam Penerbangannya, Shireen Chia, berkata ia sejajar usaha kumpulan menyokong pertumbuhan industri F&B tempatan dengan menyediakan platform berkesan bagi mempromosikan jenama masing-masing kepada penumpang AirAsia.
Namun begitu, jelasnya, setiap pembekal perlu bersedia mematuhi pelbagai peraturan penyediaan makanan yang ketat berpandukan penilaian piawaian antarabangsa khususnya yang ditetapkan di bawah proses HACCP dan jabatan penguatkuasaan.
“Kami amat mengalu-alukan sesiapa saja yang komited untuk bekerjasama dengan AirAsia, namun begitu ia perlu menepati konsep permintaan dan pembekalan iaitu mereka perlu menjual produk yang benar-benar mempunyai permintaan.
“Peluang ini terbuka tetapi ia amat bergantung kepada komitmen mereka kepada kami. Sebelum ini ada di antara mereka yang hanya separuh jalan selepas tidak tahan dengan piawaiannya yang ketat,” katanya kepada media selepas pelancaran menu baru AirAsia minuman teh jenama Chatime di Kuala Lumpur, semalam.
Pelancaran itu adalah hasil kerjasama AirAsia dan Chatime sebuah syarikat francais minuman berasaskan teh yang berpusat di Taiwan.
Mengulas lanjut, Chia berkata, syarikat F&B terbabit hanya perlu menghantar profil syarikat dan cadangan produk yang ingin ditawarkannya sebelum dihubungi untuk penilaian lanjut oleh Bahagian Pembangunan Produk AirAsia.
Kini AirAsia menawarkan kira-kira 20 pilihan makanan dalam penerbangan dihasilkan oleh pembekal tempatan.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan tiga hingga empat syarikat francais F&B tempatan dan asing untuk kerjasama dalam pembekalan makanan.
Katanya, ia selaras dengan hasrat syarikat untuk meningkatkan sumbangan pendapatan segmen F&B antara enam hingga tujuh peratus kepada keseluruhan pendapatan AirAsia dalam tempoh setahun berbanding lima peratus kini.

Comments