Skip to main content

MAS, AirAsia menang anugerah utama SKYTRAX

FARNBOROUGH: Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia menerima penghargaan tertinggi Anugerah SKYTRAX World Airline yang diumumkan pada Pameran Udara Antarabangsa Farnborough.
Anak kapal kabin MAS memenangi anugerah Krew Kabin Terbaik Dunia dan hidangan sate memenangi anugerah Hidangan Penerbangan Terbaik.Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, mengungguli anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia menerusi anugerah kepuasan pelanggan.
MAS juga mengungguli status 5 bintang pada Anugerah SKYTRAX World, menyertai kumpulan penerbangan elit sebagai perakuan ke atas kualiti produk dan perkhidmatan tinggi yang berterusan.
Lebih membangga, MAS dipilih sebagai antara 10 syarikat penerbangan terbaik dunia 2012.
Ketua Pegawai Eksekutif SKYTRAX, Edward Plaisted, berkata perakuan itu "berasaskan kepada perubahan besar yang berlaku dalam MAS."
"Kami mengkaji keseluruhan produk dan perkhidmatan dan mula melihat momentum teratur MAS ke arah menawarkan tahap perkhidmatan tinggi. Semua usaha itu memberikan kami jaminan bahawa mereka sudah kembali ke tahap sepatutnya," katanya.
Plaisted juga berkata, kejayaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik bagi tahun keempat berturut-turut, juga mengagumkan.
"Ia adalah penghormatan kepada kami untuk menerima ranking 5 bintang dan ditambah dengan perakuan oleh penumpang sebagai krew kabin terbaik dalam perkhidmatan dan hospitaliti dalam Malaysia Airlines.
"Yang pasti ini bukanlah yang terakhir untuk kami. Menerusi barisan pesawat baharu dan penambahbaikan yang kami lakukan untuk keseluruhan perkhidmatan, kami berharap dapat menang lebih banyak anugerah tahun depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, semasa ditanya mengenai kejayaan syarikat penerbangan itu memenangi anugerah untuk tahun keempat berturut-turut, berkata kejayaan itu adalah hasil disiplin yang baik petugasnya.
Bagi MAS, anugerah syarikat penerangan elit itu adalah kemuncak bulan yang menarik selepas menerbangkan pesawat terbesar dunia dan mesra alam, menerusi pelancaran penerbangan tanpa henti pertama A380 antara Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dan Lapangan Antarabangsa Heathrow London pada 2 Julai.
Prestasi AirAsia juga baik. Minggu lalu, majalah industri penerbangan berpengaruh, "Aviation Week", meletakkan syarikat penerbangan tambang rendah itu sebagai syarikat penerbangan berprestasi terbaik 2012, mengetepikan syarikat penerbangan terkemuka, Singapore Airlines dan Ryanair, syarikat penerbangan terbesar Eropah.
Anugerah Syarikat Penerbangan dunia itu ialah petunjuk aras global kecemerlangan syarikat penerbangan dengan lebih 18 juta pengguna dari lebih 160 negara dan 100 warganegara berlainan mengambil bahagian setiap tahun dalam kajian kepuasan penumpang bebas terbesar di dunia itu. - BERNAMA

Comments

Popular Posts