Bila telur MAS pun kena curi’


JADUALNYA kelihatan padat sekali. Jadi tidak hairanlah pada jam 9.30 pagi, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman sudah melayan tetamu di rumahnya.

Setelah melangkah masuk, bekas pengawai tadbir kerajaan itu menyatakan beliau sedang memperkatakan tentang usaha terbaharu memantapkan ekonomi orang Melayu.

Ternyata agenda itu memberikannya semangat untuk melakar kemungkinan baharu sambil raut wajahnya tergambar perasaan belum puas hati dengan perkembangan semasa.

Menurut bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) itu dirinya masih lagi sibuk biarpun tidak lagi berkecimpung dalam dunia korporat.

Masanya juga tertumpu kepada kariernya sebagai seorang peguam di Tetuan Nik, Sagil dan Ismail.

‘‘Saya ada dua kes yang sedang dikendalikan termasuk melibatkan seorang sahabat,” kata beliau sambil menunjukkan di mana letaknya beg ‘besar’ yang digunakan untuk ke mahkamah.

Sungguhpun begitu, beliau cuba juga menghabiskan masa yang terluang untuk pergi bermain golf.

Abdul Aziz menyifatkan pengalamannya yang lalu semasa bertugas menjadi penolong pegawai daerah dan pegawai daerah membolehkannya mengenali ragam sebenar manusia termasuk ketika menerajui MAS.

Kata beliau, dirinya pernah membuat pemeriksaan mengejut pada pukul 3 pagi untuk melihat sendiri sejauh mana pekerjanya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Abdul Aziz berkata, apa juga yang dilakukan perlu ada sistem pemantauan yang betul dan cekap selain barisan pengurusan dengan penerajunya mempunyai integriti, dedikasi dan rasa kecintaan terhadap organisasi yang diwakilinya.

‘‘Ketika di MAS dahulu, telur (yang digunakan untuk operasi penyajian makanan) dalam pesawat pun kena curi,’’ katanya sambil ketawa dan menegaskan perlunya orang yang betul ditempatkan pada jawatan yang betul.

Tidak menghairankan selepas menerajui MAS selama lebih 20 tahun, beliau dikenali sebagai orang yang memajukan syarikat penerbangan nasional itu daripada asalnya tidak miliki apa-apa.

Menurut Abdul Aziz, beliau amat gembira dengan kejayaan yang ditinggalkan sewaktu menerajui syarikat itu termasuk ibupejabat meskipun tanpa memiliki banyak dana.

‘‘Pada waktu itu, mana-mana sahaja kami pergi, kami rasa cukup berbangga. Ramai syarikat penerbangan asing memanggil kami untuk beri ceramah dan kami memenangi banyak anugerah,’’ kata beliau.

Abdul Aziz berkata, beliau mengakui tangan pernah menggigil apabila terpaksa menggunakan cash flow yang ada pada setiap bulan untuk membiayai pembinaan bangunan MAS yang terletak di Jalan Sultan Ismail.

Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan, ia perlu mempunyai bangunannya sendiri di ibukota, Kuala Lumpur.

Namun begitu, berkat kesungguhan dan kegigihan beliau dan juga pengurusan, MAS akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri selepas beroperasi di pejabat di Bangunan Koperasi Polis di Jalan Tun Sambanthan.

Abdul Aziz mengakui kecewa apabila mengetahui bangunan berkenaan akhirnya terpaksa dijual oleh MAS kerana masalah kewangan.

Biarpun beliau kini tidak lagi bersama-sama dengan tetapi perkembangan terus diikuti dan sering juga didatangi oleh para pegawai syarikat itu untuk bertukar-tukar pandangan.

Comments

Popular Posts