Polisi penerbangan dibentuk?

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Mungkinkah spekulasi mengenai perjanjian pertukaran saham antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Tune Air Sdn. Bhd. perlu bagi pembentukan Polisi Penerbangan Negara?

Tune Air dimiliki oleh dua pengasasnya iaitu Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun memegang 26.28 peratus kepentingan di dalam AirAsia Bhd. (AirAsia).

Menurut nota penyelidikan AmResearch Sdn. Bhd., sebarang perselisihan antara MAS dan AirAsia perlu diselesaikan sekiranya polisi penerbangan negara dilaksanakan.

''Kami percaya pertukaran saham tersebut adalah langkah ke arah menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan polisi tersebut.

''Antaranya rasionalisasi laluan akan menyaksikan AirAsia memonopoli kebanyakan laluan domestik dan jarak dekat, MAS komited bagi rangkaian trafik jarak jauh, penggunaan kemudahan penyelengaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) MAS serta kesatuan pekerja MAS,'' katanya.

Selain itu, langkah tersebut juga dilihat sebagai persediaan dalam menghadapi Langit Terbuka ASEAN yang akan bermula pada 2015, bakal menyaksikan peningkatan persaingan antara 10 bandar utama ASEAN.

''Ia dapat dilihat dengan kebanyakan syarikat penerbangan serantau pada masa ini secara agresif sedang membangunkan pengangkutan tambang murah mereka sendiri (LCC) yang dilihat sebagai cara efektif bagi mendapatkan trafik rantau ini.

''Pengukuhan dan kerjasama antara dua syarikat penerbangan tempatan adalah perlu untuk berhadapan dengan persaingan masa hadapan, terutama dengan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak antara Singapura sebagai pusat perniagaan dan Thailand sebagai pusat pelancongan,'' jelasnya.

Sementara itu, OSK Research dalam nota penyelidikannya berkata, langkah yang diambil Khazanah mempunyai kepentingan di dalam AirAsia itu dilihat memberikan kesan positif kepada sayap pelaburan kerajaan terutama bagi perbincangan antara kerajaan dalam hak pendaratan.

''MAS pula bakal menyaksikan rasionalisasi laluan, dengan potensi kerjasama antara MAS dan AirAsia, kami menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan akan terus fokus terhadap pasaran mereka sendiri iaitu sebagai syarikat penerbangan premium dan tambang murah.

''Tetapi dengan penembusan penumpang tambang murah di sektor penerbangan Malaysia merupakan antara tertinggi di Asia iaitu 53 peratus, kami menyaksikan MAS akan melakukan rombak rawat besar-besaran bagi laluannya.

''Ini bakal menyaksikan laluan domestik akan didominasi oleh AirAsia dan MAS akan memberi tumpuan kepada laluan antarabangsa sementara mengekalkan sedikit pendedahan kepada laluan domestik dan Firefly akan kekal mengendalikan pesawat turbo beroperasi dari Terminal Subang,'' katanya.

Dengan Khazanah mempunyai kepentingan di dalam kedua-dua syarikat penerbangan ia akan memberi manfaat dari segi tempahan pesawat dan tarif lapangan terbang, manakala caj pendaratan akan kekal rendah memandangkan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) juga dimiliki oleh Khazanah.

OSK Research berkata, ia juga difahamkan potensi pertukaran saham pada harga premium, dengan Tune Air mendapat 20 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan kebangsaan.

''Tune Air akan terus menjadi pemegang saham utama AirAsia dan AirAsia X, ia akan kekal komited untuk meningkatkan nilai pemegang saham dalam pelaburan utama dengan meneroka peluang untuk mengembangkan francais AirAsia,'' katanya.

Comments

Popular Posts