Demi kelangsungan pengangkutan udara

Pesawat MAS dan AirAsia (belakang) bersebelahan ketika bersama-sama menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum AirAsia berpindah ke Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor. - gambar hiasan

KERJASAMA antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) mungkin sesuatu yang agak di luar jangkaan masyarakat umum negara ini.

MAS dan AirAsia yang dilihat sebagai pesaing sebelum ini difikirkan akan mengambil alih antara satu sama lain, bergantung kepada siapa yang lebih kuat dan kukuh.

Sebaliknya, melalui satu cadangan kerjasama, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham utama MAS menyerahkan 20.5 peratus sahamnya kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun.

Khazanah akan mengekalkan pegangan kira-kira 49 peratus saham MAS di samping menguasai jumlah saham sekitar 20 peratus dalam AirAsia (AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd.).

Jika perkongsian itu berjaya, lawan akan menjadi kawan dan kedua-dua syarikat kelak dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan dan memajukan industri penerbangan negara.

Laluan dan penumpang yang menjadi rebutan selama ini kini boleh dikongsi bersama dalam menyediakan perkhidmatan dan harga terbaik kepada rakyat di samping memastikan syarikat mencatat keuntungan memuaskan.

Isu hak dan pembahagian laluan juga diharap dapat diselesaikan dengan baik dengan memberi fokus perkongsian pintar dari sudut pengalaman dan kepakaran teknikal yang dimiliki MAS serta perancangan dan kecekapan operasi AirAsia.

Dengan itu, rekod kewangan MAS dapat dipulihkan secepat mungkin sementara aduan penumpang tentang masalah teknikal AirAsia dapat diatasi dengan kepakaran dan peralatan terbaik negara.

Namun, sasaran akhir kedua-dua syarikat itu tidak boleh lagi bertumpu kepada keuntungan semata-mata sebaliknya kepada keselesaan dan keperluan penumpang.

Ini bagi mengelakkan masalah di kedua-dua syarikat itu diwarisi dan ditanggung penumpang sehinggakan usaha kerjasama itu dipandang serong.

Syarikat penerbangan yang bergabung juga dapat mengurangkan kos, berkongsi sumber, membuat penambahbaikan dan paling penting sekali dapat menjamin kelangsungan khidmat pengangkutan udara kepada penumpang terutamanya yang mahu ke negara lain atau tempat yang jauh dalam masa yang singkat.

Tanpa perkhidmatan pengangkutan udara, dunia serba moden kini mungkin terhenti dan kembali menggunakan pengangkutan konvensional yang mengambil masa panjang, sama ada melalui darat atau laut.

Bagaimanapun, krisis ekonomi dan kewangan global serta peningkatan harga minyak berterusan hampir membenam industri penerbangan global beberapa kali sepanjang abad ke-20 sehinggakan sekitar separuh daripada syarikat-syarikat pengangkutan udara dunia gulung tikar.

Serangan 11 September 2001 ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia, New York, Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi keadaan industri yang hampir lumpuh itu ditambah pula ancaman penyakit berjangkit seperti SARS, H1N1 dan H5N1 (selesema burung).

Demi kelangsungan khidmat pengangkutan udara, sebahagian syarikat yang masih mampu beroperasi memilih untuk bekerjasama, bergabung atau diambil alih syarikat lebih besar.

Antara jenama yang memilih jalan itu adalah United Airlines yang pernah muflis sebelum bergabung melalui pertukaran saham bernilai S$3 bilion (RM9.08 bilion) dengan Continental Airlines pada 2010 bagi membentuk syarikat pengangkutan udara terbesar dunia.

Walaupun mengekalkan nama United, syarikat penerbangan itu mengekalkan logo Continental di bawah United Continental Holdings Inc. yang turut memiliki syarikat penerbangan Texas International, Frontier, People Express dan New York Air.

Dengan 48,000 kakitangan, 359 pesawat dan 292 pesawat sewaan kontrak serantau, United kini memegang takhta syarikat penerbangan denganperolehan paling tinggi di dunia.

United juga mempunyai habnya sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago; Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles; Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, San Francisco, Los Angeles dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Sejak penggabungan itu, United turut membuat beberapa perkongsian pintar dengan syarikat penerbangan lain, syarikat pelancongan, perhotelan di samping menambah destinasi dan laluan untuk pesawatnya.

Langkah sama turut melahirkan syarikat penerbangan kedua terbesar dunia, Delta Air Lines Inc. hasil pengambilalihan beberapa syarikat kecil dan penggabungan dengan dua syarikat penerbangan utama AS.

Delta memulakan operasi di bawah nama Huff Daland Dusters pada 1924 untuk menyembur racun serangga tanaman sebelum dibeli seorang usahawan dan dinamakan sempena Delta Mississippi pada 1928.

Selepas hampir 30 tahun beroperasi membawa penumpang, Delta membeli beberapa syarikat penerbangan kecil lain seperti Chicago and Southern Air Lines (1953) dan Northeast Airlines (1972).

Pada 1987, Delta bergabung dengan syarikat besar Western Airlines yang ditubuhkan pada 1925 sebelum membeli laluan Eropah dan pesawat syarikat Pan Am pada 1991.

Tarikh 28 Oktober 2008, Delta sekali lagi bergabung dengan sebuah syarikat penerbangan utama, Northwest Airlines tetapi mengekalkan nama jenama Delta.

Gabungan akhir itu menjadikan Delta syarikat penerbangan kedua terbesar dunia dari sudut perolehan tetapi nombor satu dari sudut bilangan penerbangan dan bilangan penumpang.

Syarikat itu kini menguruskan lebih 4,000 penerbangan setiap hari sementara habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson, Atlanta merupakan lapangan terbang paling sibuk dunia dengan 88 juta penumpang setiap tahun.

Gabungan di bawah nama Delta juga merupakan antara gabungan syarikat penerbangan terbanyak di dunia memandangkan Western Airlines dan Northwest Airlines masing-masing sebelum itu telah bergabung atau membeli beberapa syarikat penerbangan lain.

Syarikat itu kini menggaji 80,000 orang pekerja dengan 12,400 orang juruterbang di Atlanta, Minneapolis, Detroit, Seattle, Memphis, Cincinnati, Los Angeles, Bandar New York dan Bandar Salt Lake.

Antara syarikat ternama lain yang meneruskan operasi melalui penggabungan termasuk US Airways; American Airlines dan syarikat Southwest Airlines yang menggabungkan syarikat ATA, AirTrain, Muse dan Morris Air.

Di luar AS, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga memilih langkah sama termasuk Berlin Air (Jerman); Air Canada (Kanada); Air Jamaica (Caribbean) dan syarikat Air France KLM yang menggabungkan Air France dan KLM Royal Dutch Airlines pada 2004.

Mengambil sudut positif penggabungan dua atau lebih syarikat penerbangan, langkah itu bukan sahaja dapat menjamin kelangsungan operasi dan perkhidmatan malahan dapat membuka ruang untuk penambahbaikan yang boleh disalur kembali kepada para penumpang.

Kemampuan syarikat mengimbangi pengurusan kos operasi dan menarik pelanggan adalah langkah utama dalam memastikan khidmat pengangkutan udara dapat dinikmati sehingga generasi berikutnya.

Comments

Popular Posts