MAS rugi RM527 juta suku kedua

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM527 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2011.

Menurut kenyataan MAS, kerugian tersebut disebabkan oleh kos bahan bakar tinggi yang telah mengganti kerugian (offset) hasil dan perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) yang lebih tinggi pada suku sama tahun lalu.

''Namun perolehan bagi syarikat bagi suku kedua meningkat kepada RM3.485 bilion atau peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding RM3.123 bilion sebelumnya.

''Manakala perolehan penumpang merekodkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus kepada RM2.086 bilion berbanding RM1.912 bilion,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, langkah kawalan kos secara agresif dan konsisten telah memberikan kesan positif dengan pengurangan sebanyak dua peratus bagi perbelanjaan bukan berkaitan bahan bakar.

''Tetapi kos bahan bakar terus memberikan kesan besar kepada operasi syarikat dengan peningkatan sebanyak 41 peratus kepada RM1.550 bilion untuk tempoh tersebut.

''Ahli lembaga pengarah juga tidak menjangkakan sebarang keuntungan dapat diperolehi untuk separuh kedua nanti, walaupun kerugian tersebut tidak akan seburuk suku pertama tahun ini,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, lembaga pengarah telah mengenal pasti fokus masa terdekat seperti memilih kepimpinan terbaik untuk meneraju MAS dan secara proaktif sedang mencari pengganti Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta kedudukan pengurusan kanan.

''Bekerja dengan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang dibentuk dua minggu lalu, inisiatif pemulihan akan dilaksanakan untuk mengembalikan serta membina semula rizab tunai.

''Inisiatif terdekat termasuk pengurusan kapasiti lebih baik, pelaksanaan harga dinamik untuk menambah baik hasil dan perolehan.

''Selain itu, penilaian semula produk dan kedudukan jenama serta penilaian perniagaan Firefly untuk fokus kepada operasi pesawat turbo-prop beroperasi luar Subang dan menyusun semula perniagaan jet mereka bagi menyediakan perkhidmatan premium serantau,'' katanya.

Bagi jangka panjang, EXCO akan mencari pelan strategik dalam membawa semula syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam lingkungan keuntungan.

Katanya, untuk tahun ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan industri penerbangan kekal mencabar dengan harga bahan bakar kekal tinggi dan kebimbangan krisis hutang di Eropah serta tinjauan di Amerika Syarikat (AS).

Tempahan awal MAS menunjukkan cabaran untuk sektor Eropah, AS dan Jepun dengan trend tempahan bagi rantau utama lain adalah normal.

Katanya, bagi berhadapan dengan suasana operasi yang mencabar, MAS akan menyederhanakan pertumbuhan kapasiti bagi jangka pendek.

Pihak pengurusan akan menilai semula secara serius rangkaiannya pada masa ini.

Comments